KURSUS PTTK ANTIDADAH PANGKALAN

WhatsApp Image 2024 03 04 at 142452 WhatsApp Image 2024 03 04 at 142453 WhatsApp Image 2024 03 04 at 142453 1
WhatsApp Image 2024 03 04 at 142453 2 WhatsApp Image 2024 03 04 at 142454 WhatsApp Image 2024 03 04 at 142455

 

SENDAYAN, 1 Mac 24 - Cawangan Provos Marsyal TUDM telah menganjurkan Kursus PTTK Antidadah Pangkalan yang bermula pada 26 Feb hingga 1 Mac 24 bertempat di CPM TUDM, PU Sendayan. Seramai 40 orang PTTK dari seluruh unit, pangkalan dan markas TUDM di Malaysia telah didedahkan dengan bidang tugas PTTK Antidadah dalam kursus ini.

Peserta kursus diajar tentang tindakan yang perlu diambil bagi menangani permasalahan berkaitan dadah yang berlaku melibatkan anggota di unit, pangkalan dan markas TUDM. Selain daripada itu, kursus PTTK Antidadah ini menyediakan peserta agar mempunyai rasa tanggungjawab untuk memerangi najis dadah dan seterusnya membantu Pegawai Antidadah dalam memenuhi senarai semak pemeriksaan IGTU dengan menjalankan aktiviti atau program antidadah.

Kursus ini juga dapat memberi kefahaman kepada peserta terhadap fungsi dan peranan agensi penguatkuasa awam dalam membanteras penyalahgunaan dadah serta pemulihan penagihan.

Sel Narkotik CPM TUDM telah menunjukkan demonstrasi bagaimana ujian saringan air kencing dilaksanakan mengikut PMAT Bil 2 Tahun 2022. Sepanjang kursus berlangsung, sesi pembelajaran dalam kelas telah melibatkan penguat kuasa ATM dari 48 CSJ dan Provos Tentera Laut (PROTELA); dan dari agensi luar seperti PDRM dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Peserta kursus turut dibawa melawat Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Jelebu. Akhir sekali, peserta kursus diberi pendedahan berkaitan akta dan direktif berkait penyalahgunaan dadah serta proses pemberhentian anggota yang terlibat.

Majlis penutup kursus ini telah dirasmikan oleh Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota – Markas Angkatan Tentera Malaysia Brig Jen Hamdan bin Ahmad TUDM yang diiringi oleh Provos Marsyal Udara, Norazan bin Md Amin TUDM. Turut hadir ke acara penutup majlis adalah pegawai dan staf Cawangan Provos Marsyal TUDM.

Semoga usaha-usaha yang dilaksanakan ke arah membenteras penyalahgunaan dadah di kalangan warga udara khususnya dapat dipertingkatkan dan memberi kesedaran kepada seluruh warga TUDM agar memelihara diri dan keluarga daripada terjebak dengan segala bentuk penyalahgunaan dadah berbahaya yang menjadi perosak kepada organisasi dan negara.