SUBANG, 21 Nov 23 – Pangkalan Udara Subang di bawah kelolaan Pegawai Keselamatan Pangkalan, Mej Sukri bin Sarjeng TUDM serta Base Safety Committee telah berjaya melaksanakan satu latihan Pre- Accident Plan (PAP) Off Base bagi tahun 2023 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan TTDI Jaya.
Latihan pada kali ini melibatkan pesawat helikopter Blackhawk S70A-34 dari No 2 Skn, Skn 211 HANDAU, 819 RSAT, Cawangan Bomba, Cawangan Operasi serta unit-unit bantuan yang terlibat. Pada masa yang sama, latihan kali ini turut melibatkan agensi luar seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Kecemasan dari Hospital Shah Alam.
Tujuan utama latihan ini dilaksanakan adalah untuk memastikan serta menguji kecekapan Pasukan Penyelamat TUDM selain koordinasi kerjasama bersama agensi-agensi penyelamat di daerah Petaling Jaya dalam menyelamatkan mangsa serta pesawat apabila berlakunya pendaratan cemas ataupun terhempas yang melibatkan mangsa yang ramai. Sepanjang latihan ini berlangsung, setiap unit penyelamat TUDM akan dinilai oleh penilai yang telah dilantik bagi memastikan mereka mengikut senarai semak PAP Pangkalan Udara Subang yang telah ditetapkan.
Senario yang dipilih pada tahun ini melibatkan penerbangan VVIP dari PU Kuantan bersama empat (4) kru dan seorang VVIP serta seorang bodyguard. Pesawat telah diarahkan untuk hold at the west of the airfield di aras 1000 kaki bagi memberi laluan kepada schedule departure. Pesawat telah mengalami birdstrike semasa dalam perjalanan ke west of the airfield dan menyebabkan kedua-dua enjin terbakar. Disebabkan itu, juruterbang telah membuat MAYDAY CALL disebabkan pesawat tidak dapat dikawal dan melakukan force landing di kawasan yang berhampiran.
Pemangku Komander Pangkalan, Kol Yusri bin Jamari TUDM juga turut hadir sebagai On Scene Commander bagi melihat kecekapan pasukan keselamatan PU Subang serta agensi luar ketika melaksanakan tugas menyelamat.
Dalam ucapan penutup Pemangku Komander Pangkalan, beliau menjelaskan bahawa latihan sebegini sewajarnya dilaksanakan untuk memastikan semua bersiap sedia termasuk melibatkan koordinasi di antara pihak TUDM dan agensi luar sekiranya berlaku kejadian yang sebenar. Latihan ini juga dapat dilihat sebagai satu platform untuk meningkatkan tugas menyelamat dengan lebih efektif dan efisien. Beliau turut menyampaikan penghargaan diatas bantuan yang diberikan oleh seluruh agensi dalam menjayakan latihan ini.