![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
SUBANG, 21 Mac 25 – Pangkalan Udara Subang di bawah kelolaan Pegawai Keselamatan Pangkalan, Mej Sukri bin Sarjeng TUDM serta Base Safety Committee telah menganjurkan Hari Keselamatan Pangkalan yang telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan, Brigedier Jeneral Yusri bin Jamari TUDM dan turut dihadiri oleh Pegawai Eksekutif Pangkalan, Kol Ungku Suzaini bin Ungku Ahmad TUDM.
Hari Keselamatan yang dianjurkan dengan slogan ‘Sentiasa Beringat, Raya Pasti Selamat’ dengan penglibatan seramai 500 orang warga pangkalan ini bertujuan bagi mempertingkatkan kesedaran keselamatan dan menambah pengetahuan tentang perihal keselamatan dalam kalangan warga pangkalan semasa atau sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun 2025 serta memberi kesedaran dan tanggungjawab individu terhadap keselamatan, serta menekankan pentingnya mengambil tindakan proaktif untuk mengurangkan risiko kemalangan.
Pengisian Hari Keselamatan telah dimulakan dengan ceramah keselamatan jalan raya dari pihak Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) yang disampaikan oleh Ts Mohd Fauzi bin Mat Wazir dengan tajuk ‘Keselamatan Jalan Raya semasa Balik kampung Sempena Cuti Hari Raya 2025. Kemudian, ceramah diteruskan dengan ‘Microsleep Semasa Memandu’ daripada pihak Institut Perubatan Penerbangan (IPP) yang telah diberikan oleh Mej Dr. Munawarah Silam binti Abu Muslim.
Sebelum program melabuhkan tirai, Komander Pangkalan dengan penuh penghargaan telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Khidmat Terpuji kepada pegawai dan anggota yang layak. Majlis ini bukan sahaja bertujuan mengiktiraf sumbangan mereka, tetapi juga untuk memperkukuh profesionalisme dengan menyemai budaya kerja yang lebih berdisiplin serta komited terhadap aspek keselamatan. Penerima sijil ini diharapkan dapat menjadi inspirasi dan teladan kepada anggota lain agar terus berusaha serta berkhidmat dengan cemerlang. Secara tidak langsung, pengiktirafan ini turut membantu meningkatkan imej organisasi dengan membuktikan bahawa setiap usaha dan pencapaian dalam memastikan keselamatan yang terbaik sentiasa dihargai serta diiktiraf.
Di akhir majlis, Komander Pangkalan turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga PU Subang yang beragama Islam dan mengingatkan warga PU Subang agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga di mana saja berada.
Secara keseluruhannya, penganjuran Hari Keselamatan Pangkalan Udara Subang Tahun 2025 telah berlangsung dengan lancar dan berjaya. Diharapkan program ini dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan serta memberikan pengetahuan dan informasi berguna berkaitan aspek keselamatan kepada seluruh warga PU Subang. Selain itu, program ini juga berperanan dalam meningkatkan kesedaran kepada semua warga pangkalan agar lebih berhati-hati ketika memandu, terutamanya semasa pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.