BENGKEL PENULISAN KIK TUDM 2024

1 2 3
4 5 6

 

SUBANG, 30 Jan 24 – Inspektorat TUDM selaku Sekretariat Inovasi TUDM telah menganjurkan Bengkel Penulisan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu peringkat TUDM bagi tahun 2024 yang diadakan di Auditorium Badan Muzik dan Kesenian (MUKES), Pangkalan Udara Subang.

Bengkel yang berlangsung dari 30 Jan 24 hingga 2 Feb 24 ini dilaksanakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada seramai 80 peserta daripada 44 penyertaan projek KIK cara-cara untuk menyediakan laporan projek yang berkualiti dan mengikut keperluan penganjur pertandingan – pertandingan inovasi yang akan disertai pada tahun ini.

Perasmian pembukaan bengkel telah disempurnakan oleh Inspektor Jeneral Tentera Udara, Brig Jen Mohd Kahar bin Mohd Kassim TUDM selaku Ketua Sekretariat Inovasi TUDM. Dalam Ucapan IGTU, beliau menyatakan bahawa Sekretariat Inovasi TUDM bersama-sama dengan fasilitator yang dilantik akan membantu serta membimbing projek-projek yang bermutu dan layak untuk dipertandingkan sama ada diperingkat TUDM, ATM, Kementerian Pertahanan mahu pun di peringkat Kebangsaan. Beliau juga berhasrat agar peserta KIK berusaha dengan lebih gigih dan kuat agar TUDM dapat mengulangi sejarah gemilang pertandingan Inovasi dan KIK pada tahun lepas apabila TUDM telah berjaya merangkul banyak kejuaraan dalam semua pertandingan KIK yang disertai.

Peserta-peserta bengkel akan dipimpin mengikut kategori dan bidang inovasi oleh lima (5) orang fasilitator yang berpengalaman luas. Fasilitator yang turut serta dalam bengkel ini ialah Lt Kol Saipol bin Jamil TUDM selaku Ketua Fasilitator, Mej Kaswadi bin Mansor TUDM, Mej Dess Iskandar bin Md Zen TUDM, Mej Khairil Ashraf bin Sulaiman TUDM dan Mej Haziq Izzat bin Sulaiman TUDM. Pensyarah jemputan dari Invenxer SDN BHD iaitu Puan Nursyuhada binti Mohd Shafawi telah turut dijemput untuk memberikan syarahan berkenaan dengan pendaftaran Harta Intelek Malaysia.