KUCHING, 14 Dis 21 - Seramai 1,347 anggota TUDM dan pasangan telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Dewan Sri Angkasa, Pangkalan Udara Kuching bagi Pilihan Raya Negeri DUN Sarawak ke-12 bagi DUN N12 Kota Sentosa. Proses mengundi telah dilaksanakan seawal jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.
Turut sama hadir melaksanakan tanggungjawab mengundi adalah Brig Jen Datuk Yee Yit Hong TUDM bersama Datin Hew Fui En yang melaksanakan proses membuang undi tersebut. Komander Pangkalan Udara Kuching, Kolonel Mohd Azwan bin Mohd Pohari TUDM turut sama menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di samping memastikan kelancaran proses pelaksanaan membuang undi yang dipantau sepenuhnya oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pelaksanaan proses mengundi pada hari tersebut telah berjalan dengan lancar mengikut SOP yang telah dikeluarkan oleh SPR dengan pematuhan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penggunaan sanitasi tangan (hand sanitizer).
Pihak pangkalan juga mengambil inisiatif melaksanakan proses mengundi secara berperingkat mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan dan sentiasa mematuhi penjarakan fizikal bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Terima kasih kepada semua pengundi khususnya warga TUDM dan pasangan yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal serta semua pihak yang terlibat dalam memberikan kerjasama yang baik bagi melancarkan proses mengundi untuk PRN Sarawak ke-12 dan di dalam masa yang sama sangat menjaga SOP Covid-19.