KOTA KINABALU, 12 Dis 21 – Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Haji Shamsudin bin Kassim TUDM mewakili Panglima Tentera Udara hari ini telah menyempurnakan Majlis Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Udara Universiti Awam Siri Ke 39/20 yang diadakan di Dewan Bankuasi Universiti Malaysia Sabah. Majlis pentauliahan ini telah dikoordinasi oleh Markas Pasukan Simpanan Tentera Udara (MPSTU) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah.
Majlis pentaulihan ini telah melibatkan seramai 48 Pegawai Kadet PALAPES Udara Universiti Awam Siri Ke 39/20 yang terdiri daripada 25 Pegawai Kadet Lelaki dan 23 Pegawai Kadet Wanita universiti awam. Pegawai Kadet PALAPES Udara ini merupakan pegawai kadet daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara(UiTM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP). Kesemua Pegawai Kadet Udara berkenaan telah menjalani latihan asas ketenteraan merangkumi latihan tempatan, berterusan dan kem tahunan selama tiga tahun dan telah menempuh pelbagai pahit getir serta cabaran demi mencapai satu impian dan cita-cita untuk menjadi seorang pegawai dalam Angkatan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia.
Majlis dimulakan dengan Pengisytiharan Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Udara oleh wakil Panglima Tentera Udara iaitu melalui Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-589 bertarikh 24 Nov 20 telah memperakukan Penganugerahan Tauliah Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM) dengan pangkat Leftenan Muda PSSTUDM. Perakuan ini telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Dillah pada 24 Nov 20”.
Penyampaian Anugerah Pegawai Kadet Terbaik kepada 2 Pegawai Kadet Udara Universiti Awam telah disempurnakan oleh Panglima Wilayah Udara 2. Penerima bagi Anugerah Pegawai Kadet Terbaik daripada setiap universiti adalah seperti berikut:
1. Pegawai Kadet Terbaik dari Universiti Malaysia Sabah ialah Leftenan Muda Awangku Mohd. Zulfakar bin Awangku Kamaludin PSSTUDM.
2. Pegawai Kadet Terbaik dari Universiti Malaysia Sarawak ialah Leftenan Muda Nur Izzudin bin Mohd Zin PSSTUDM.
Melalui Ucapan Panglima Tentera Udara yang disampaikan melalui Panglima Wilayah Udara 2, beliau menzahirkan rasa bangga dan menyeru pegawai kadet yang secara rasminya ditauliahkan hari ini sebagai titik permulaan berkhidmat sebagai pegawai di dalam Angkatan Sukarela TUDM untuk memikul tanggungjawab yang besar dalam meneruskan evolusi dan reputasi kecemerlangan di dalam TUDM. Beliau turut menekankan bahawa latihan asas yang telah dijalani di pasukan PALAPES Udara di univerisiti awam masing-masing, telah berjaya mendidik serta memupuk semangat setia kawan, semangat juang serta jati diri yang tinggi di dalam sanubari seorang pegawai sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia.
Beliau juga mengingatkan selaku pegawai muda PSSTUDM supaya sentiasa memelihara maruah, disiplin diri, imej serta nama baik perkhidmatan. Mereka juga haruslah berpegang teguh kepada etika, peraturan dan undang-undang sedia ada di samping menjauhi dan mengelakkan diri daripada terlibat dengan perkara-perkara yang tidak sihat serta menyalahi undang-undang seperti penglibatan dengan najis dadah, pencemaran nilai integriti, menyalahguna platform laman sosial serta bertanggungjawab dalam menjaga kerahsiaan negara.
Menurut beliau lagi, ATM pada masa kini sedang menumpukan bidang kepakaran baharu khususnya seperti kejuruteraan satelit, keselamatan siber, integrasi sistem, pengkomputeran awan dan data besar (cloud computing and big data) untuk menghadapi ancaman masa kini dan masa hadapan. Kerajaan akan terus meningkatkan peranan angkatan sukarela selaras dengan keperluan semasa sebagai pelengkap dan sebahagian penting ATM dan tidak lagi dianggap sebagai aset yang hanya boleh dikerah semasa konflik.
Di akhir ucapan, Panglima Tentera Udara menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada pegawai muda PSSTUDM dan berharap mereka terus komited, beriltizam untuk meneruskan perkhidmatan dan bergiat aktif dalam Angkatan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia. Turut hadir menyaksikan upacara ini adalah Komander Pangkalan Udara Labuan Brig Jen Dato’ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM, Pengarah Pasukan Simpanan Tentera Udara, Kol Mohamad Noh bin Daim TUDM , Wakil Komandan PALAPES UMS, Wakil Komandan PALAPES UNIMAS, Pegawai Memerintah PUKALUB serta staf dan jurulatih UMS.