IPOH, 16 Mac 23 - Akademi Tentera Udara (ATU) telah melaksanakan Cabaran Larian 10km fasa pertama bagi tahun 2023 dengan jayanya sebelum menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak yang akan berkunjung tiba beberapa hari sahaja lagi.
Peserta larian yang telah mengambil bahagian hari ini terdiri daripada pegawai dan anggota serta kakitangan awam yang berkhidmat di akademi ini. Aktiviti larian ini telah dirasmikan oleh Komandan ATU, Kol Junairi bin Baharom TUDM.
Acara dimulakan dengan sesi taklimat ringkas oleh Pegawai Waran Jasmani mengenai laluan dan disiplin acara sepanjang larian ini berlangsung. Para peserta juga didedahkan dengan pemanasan dinamik yang merangkumi pra pemanasan dan teknik memanaskan badan yang sesuai bagi acara larian.
Acara cabaran larian yang dilaksanakan 4 kali setahun ini turut disertai oleh Pengerusi BAKAT ATU, Puan Salmiah binti Saud serta ahli keluarga warga ATU yang berkelapangan. Aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat membina kecergasan dan kesihatan yang baik malah dapat memupuk tali silaturrahim yang utuh dan erat.
Semua peserta telah berjaya menamatkan larian mengikut masa yang ditetapkan. Aktiviti 'sweep & run' yang diperkenalkan sepanjang larian berlangsung juga berjaya memupuk nilai prihatin warga ATU terhadap persekitaran infrastruktur dan lanskap agar sentiasa terpelihara. Tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan sepanjang aktiviti cabaran larian ini berlangsung.
Sekalung penghargaan dan ucapan tahniah diucapkan kepada seluruh kepimpinan dan warga ATU di atas kejayaan melaksanakan Cabaran Larian 10km fasa pertama tahun 2023 dengan jayanya. Selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak!