IPOH, 17 Okt 21 - Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh telah menerima kehadiran seramai 405 calon lelaki Perajurit Muda Udara siri 64/21 yang terpilih dari serata negeri. Kehadiran para calon ini telah diiringi oleh keluarga masing-masing seawal jam 7 pagi.
Namun perbezaan kali ini calon-calon telah melapor diri secara norma baru secara berperingkat iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Pada peringkat pertama (Sabtu), seramai 205 orang telah melapor diri manakala bagi peringkat kedua (Ahad) pula seramai 200 calon. Penerimaan secara berperingkat ini bertujuan bagi memudahkan segala pengurusan kemasukkan serta memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti penjarakan fizikal sentiasa dipatuhi setiap calon.
Pengambilan calon Perajurit Muda Udara pada kali ini hanya melibatkan calon lelaki sahaja. Kesemua calon yang melapor turut diberi penerangan mengenai dokumentasi akhir serta menjalani ujian saringan awal air kencing. Prosedur seperti ini adalah bertujuan memastikan setiap calon bebas daripada penggunaan bahan terlarang sebelum mengangkat sumpah sebagai Perajurit Muda Udara (PjM U) Siri 64/21 yang akan dilaksanakan pada 27 Okt 21.
Selamat berjaya diucapkan kepada semua calon.