Buat julung kalinya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menerima Bantuan Musa’adah khususnya kepada warga ATM yang terlibat secara langsung sebagai petugas barisan hadapan terutamanya dalam Operasi PENAWAR dan Operasi BENTENG untuk membantu Negara mengekang penularan pandemik COVID-19. Bantuan ini juga diberikan kepada anggota ATM yang ditimpa musibah banjir di beberapa buah negeri baru-baru ini.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyerahkan sumbangan kepada Panglima Angkatan Tentera, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM. Majlis serahan sumbangan ini turut disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.
Bantuan yang di usahakan oleh Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) ini adalah berlanjutan dari pertemuan antara Ketua Pengarah KAGAT, Mejar Jeneral Dato’ Hj. Nawawi bin Daud kepada Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 10 Jan 21 lalu. Bantuan ini berobjektifkan untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh warga ATM termasuk keluarga, aspek sokongan moral di samping keprihatinan kerajaan serta organisasi ATM dalam memelihara aspek kebajikan atas pengorbanan yang dicurahkan oleh anggota ATM. Bantuan ini diharapkan dapat membantu warga ATM yang terjejas serta terus fokus kepada tanggungjawab dalam menggalas amanah menjaga keselamatan Negara.
Jumlah bantuan yang dihulurkan oleh YB Menteri (Hal Ehwal Agama) berjumlah RM800,000.00 (RM400,000.00 berupa wang tunai dan RM400,000.00 berupa barangan keperluan). Setiap keluarga yang layak akan memperolehi RM100.00 (tunai) dan barang keperluan bernilai RM100.00. Secara keseluruhannya, pemberian sumbangan ini dijangka akan memanfaatkan sejumlah 4,000 anggota ATM.
Diharapkan agar kerjasama antara ATM melalui Kementerian Pertahanan dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa terjalin erat melalui pelbagai bentuk aktiviti merangkumi aspek kerohanian dan intelektual dari semasa ke semasa.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Panglima-Panglima Perkhidmatan, AKS Bahagian Operasi dan Strategi, Mej Jen Dato' Zulkifli bin Hamid TUDM dan tetamu kenamaan awam terdiri daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malayis (YaPEIM).