SUBANG, 9 Julai 2021 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang pesakit dari Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur ke Sarawak bagi membolehkan pesakit menjalani rawatan rehabilitasi di Wad Isolasi Pusat Jantung Sarawak.
Pesakit, Jarit anak Luyang berusia 62 tahun berasal daripada Sarawak telah mengalami masalah injap pada jantung . Walau bagaimanapun beliau telah selamat menjalani pembedahan penukaran injap mekanikal pada 29 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang. Pesawat telah diterbangkan oleh Mejar Phanom A/L Achuan TUDM dan Mejar Mohd Fitrie Idham bin Kamaruddin TUDM dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Mohamad Ridhwan bin Yahaya TUDM bersama tiga (3) orang ‘Loadmaster’, PW U II Hairy bin Kamis, FSjn Anuard bin Shariff Ahmad serta Sjn U Mohd Nain bin Kamijan bersama dua (2) orang ‘Technician’ Sjn U Suhairey bin Narawi dan Kpl U Muhammad Azril Adha bin Razali.
Pesawat telah berlepas dari Pangkalan Udara Subang jam 6.58 pagi dan selamat tiba di Pangkalan Udara Kuching jam 8.40 pagi. Turut mengiringi pesakit dalam penerbangan ini adalah isteri pesakit serta dua (2) orang pegawai perubatan dan seorang jururawat.
Penerbangan ihsan ini dilaksanakan oleh TUDM bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan susulan tertakluk kepada kriteria-kriteria tertentu terutama nasihat daripada pegawai perubatan. Ini memperlihatkan keprihatinan dan komitmen TUDM dalam melunaskan tanggungjawab sosial serta sentiasa siap siaga untuk mengoperasikan aset-asetnya pada masa yang diperlukan.
Selain itu, penerbangan hari ini turut membawa pek bantuan makanan asas ke Wilayah Persekutuan Labuan. Bantuan makanan asas tersebut mengandungi pek beras daripada Kementerian Wilayah Persekutuan Malaysia (KWPM) adalah untuk golongan-golongan yang terkesan dengan PKP di Wilayah Persekutuan Labuan.
Seluruh warga TUDM mendoakan supaya pesakit dapat menerima rawatan dengan sebaiknya serta diberikan kesembuhan. Semoga usaha yang dilaksanakan oleh TUDM dengan kerjasama pasukan perubatan melancarkan proses rawatan perubatan dan membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga pesakit berkenaan.