TINGKATKAN KEUPAYAAN OPERASI DAN KOMPETENSI ANAK KAPAL FOKUS UTAMA PROGRAM PENGENALAN HELIKOPTER AW 139 TUDM KEPADA MENTERI KANAN PERTAHANAN

1 2 3
4 5 6

 

BUTTERWORTH, 10 Feb 22 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein hari ini telah turun padang ke Pangkalan Udara Butterworth bagi Program Pengenalan Pesawat AW 139 TUDM bertempat di No. 3 Skuadron. Ketibaan Menteri Kanan Pertahanan dan delegasi pada lebih kurang jam 9.40 pagi ini telah disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM bersama pengurusan tertinggi TUDM dan eksekutif pangkalan.

Pesawat helikopter AW 139 ini merupakan aset mobiliti terbaharu yang akan digunakan TUDM melalui kaedah sewaan bagi pelaksanaan operasi udara melibatkan fleet helikopter. Helikopter AW 139 ini akan beroperasi di bawah kendalian No. 3 Skuadron yang sebelum ini merupakan skuadron yang mengoperasikan pesawat helikopter Nuri.

7 8 9
10 11 12

 

Semasa program pengenalan pesawat berkenaan, YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein diberikan taklimat berkenaan keupayaan serta pengoperasian pesawat yang disampaikan oleh Pegawai Memerintah No. 3 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohd Faizal bin Abdul Latif TUDM. Menteri Kanan Pertahanan turut menyaksikan Penyerahan Buku Log Pesawat AW 139 oleh Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim, Pengarah Urusan Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. kepada Panglima Tentera Udara. Menteri Kanan Pertahanan kemudiannya telah dibawa mengikuti penerbangan (familiarization flight) pesawat AW 139 yang diterbangkan sendiri oleh Pegawai Memerintah No. 3 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohd Faizal bin Abdul Latif TUDM dan Mejar Izan bin Md Jedi TUDM bagi merasai pengalaman sendiri tentang kesiagaan dan keupayaan pesawat yang diterima. Turut serta mengikuti familiarization flight ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz dan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM merangkap Tred Master Fleet Helikopter.

Kontrak sewaan helikopter ini adalah sebahagian daripada perancangan TUDM melalui pelan strategiknya, Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM atau RMAF Capability Development Plan 2055 (RMAF CAP55) serta digariskan dalam RMK-13 (2026-2030) bagi menggantikan operasi helikopter Nuri. Ia merupakan kaedah jangka pendek yang dilaksanakan secara sewaan (leasing). Pelaksanaan sewaan helikopter utiliti ini menggunapakai konsep Government Operate, Company Own and Maintain (GOCOM) selama tempoh kontrak.

13 14 15

 

Sebanyak empat (4) buah pesawat helikopter AW 139 akan digunakan oleh TUDM dalam kontrak sewaan ini. Pada masa ini, sebanyak tiga (3) buah pesawat Helikopter AW 139 telah diterima manakala sebuah (1) pesawat lagi dijadualkan akan diterima pada bulan Mei 2022.
Penerimaan dan pengoperasian pesawat ini adalah bertujuan menampung keperluan operasi yang ketika ini dilaksanakan oleh pesawat EC 725 AP dalam penugasan Combat Search and Rescue (CSAR), Tactical Airlift dan Utiliti yang terkandung di dalam Pelan 4 Dimensi ATM. Dengan pelaksanaan sewaan helikopter ini juga, ianya menjadi platform penting kepada fleet helikopter TUDM untuk mengekal dan meningkatkan kompetensi serta kemahiran anak kapal helikopter. Secara tidak langsung, ianya dapat memanfaatkan semula kepakaran anak kapal dalam bidang penerbangan.

Pesawat Helikopter AW 139 TUDM ini akan berperanan dalam melaksanakan tugasan seperti Air Logistic Support and Resupply Flight, Military and Civil Communication Flight, Medical Evacuation (MEDEVAC), Casualty Evacuation (CASEVAC), Body Evacuation (BODEVAC) dan Humanitarian and Disaster Relief (HADR).

Helikopter AW 139 ini turut berkeupayaan melaksanakan peranan dan tugas utiliti fleet helikopter TUDM serta mampu dioperasi pada waktu siang dan malam. Perolehan aset udara ini akan turut meningkatkan lagi kesiagaan dan keupayaan TUDM khususnya dalam melaksanakan operasi dan peranan utamanya dalam memelihara kedaulatan ruang udara negara.

Turut hadir di program ini ialah Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan, Mejar Jeneral Dato' Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM; Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brigedier Jeneral Norli Hisham bin Alwi TUDM serta pegawai kanan TUDM dan awam Kementerian Pertahanan.