BUTTERWORTH, 10 Februari 2022 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini telah melaksanakan lawatan ke Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) usai program Pengenalan Pesawat Helikopter AW 139 TUDM. Beliau yang diiringi oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abdul Aziz telah melihat keadaan RKMAT Sri Pantai Blok G yang menempatkan kediaman bagi anggota berpangkat Koperal dan ke bawah.
Program menaik taraf Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) PU Butterworth ini menjadi tumpuan lawatan Menteri Kanan Pertahanan bertujuan memastikan kebajikan khususnya perumahan dijalankan dengan baik bagi keselesaan dan keselamatan anggota serta ahli keluarga mereka. Menteri Kanan Pertahanan turut melihat sendiri sebuah rumah yang diduduki oleh Kpl U Mohamad Hazrin Azrizad bin Zainudin dari Skn 214 HANDAU disamping menyantuni ahli keluarga Kpl U Mohamad Hazrin iaitu isterinya, Puan Norfizilah binti Wahid bersama dua anak perempuan, Norrabiatul Adawiyah berusia 5 tahun dan Norrabiatul Alisha berusia 1 tahun 6 bulan.
RKMAT sedia ada di seluruh negara akan dinaiktaraf demi menambahbaik keselesaan dan keselamatan anggota serta ahli keluarga mereka memandangkan keluasan RKMAT sedia ada iaitu 850 kaki persegi sudah tidak lagi menepati kelayakan semasa iaitu 1100 kaki.
Di PU Butterworth, sebanyak 288 unit akan digabungkan menjadi 144 unit. Daripada jumlah 144 unit ini, 60 unit telah siap menerusi 3 fasa. Manakala Fasa 4 bakal dimulakan dalam masa terdekat yang akan melibatkan 168 unit asal yang akan digabungkan menjadi 84 unit. Keluasan baharu rumah kelas G adalah 1700 kaki persegi yang lebih luas serta selesa untuk sebuah keluarga.
Menteri Kanan Pertahanan berpuashati dengan perkembangan projek naik taraf perumahan yang dilaksanakan. Di dalam amanat beliau, teras kebajikan menjadi teras penting dan memfokuskan kepada aspek perumahan. Beliau menitikberatkan soal kediaman kerana ianya sumber moral, semangat dan kekuatan untuk anggota tentera terus menyumbang khidmat bakti dengan sebaik-baiknya.