Tanjung Bungah, 1 Dis 23 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah hadir pada hari terakhir seminar hari ini bagi menjayakan sesi dialog seterusnya merasmikan Majlis Penutup Seminar Pegawai Kanan Materiel Tahun 2023 yang diadakan di Hotel Mercure Pulau Pinang.
Sepanjang sesi dialog, Panglima Tentera Udara berkongsi perkembangan terbaharu pemodenan TUDM selain pendapat serta pengalaman dengan para peserta bagi memastikan relevansi Cawangan Materiel dalam merealisasikan hasrat Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau RMAF CAP55 dan pucuk pimpinan tertinggi TUDM. Panglima Tentera Udara juga turut menzahirkan hasrat beliau supaya semua peserta menekankan tahap pengetahuan, kepakaran, proses kerja, dasar, latihan serta pembangunan sumber manusia Materiel sentiasa dinamik dan bergerak selari dengan peningkatan aset dan perkembangan semasa disamping meningkatkan tahap integriti dalam pengurusan perolehan dan kewangan.
Seminar Pegawai Kanan Materiel Tahun 2023 dianjurkan oleh Markas Tentera Udara - Bahagian Materiel telah berlangsung pada 29 Nov hingga 1 Dis 23 melibatkan seramai 57 Pegawai Kanan Materiel yang terdiri daripada Pegawai Memerintah, Ketua Cawangan Materiel, Ketua MATRA, Ketua Terminal Peluru dan Pegawai Staf 1 di peringkat Markas.
Seminar yang dilaksanakan secara tahunan ini adalah satu forum untuk membincangkan secara bersepadu mengenai prestasi pengurusan Materiel di semua peringkat organisasi TUDM. Turut dibincangkan beberapa cadangan penambahbaikan dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan selain memastikan dasar, polisi dan pembangunan sumber manusia kesediaan infrastruktur Materiel berada pada tahap yang terbaik serta selari dengan keperluan semasa.
Pada sesi kali ini, taklimat yang dibentangkan melibatkan dasar, pembangunan latihan dan sumber manusia, hala tuju strategik, cabaran dan pelan tindakan jangka masa pendek, sederhana serta jangka masa panjang bagi Cawangan Materiel berpaksikan kepada Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (RMAF CAP 55). Selain daripada itu, pencapaian prestasi Materiel berdasarkan laporan pemeriksaan audit Inspektorat TUDM, analisis hasil lawatan kerja AKS Materiel ke unit-unit Materiel TUDM dan kupasan matlamat AKS Materiel turut disampaikan.
Semoga segala perkongsian idea dan ilmu pengetahuan di sepanjang seminar ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya dan dijadikan sebagai panduan di dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan dalam perkhidmatan TUDM khususnya dan ATM amnya.
#WargaUdara
#SentiasaDiAngkasaRaya