CAMERON HIGHLAND, 24 Julai 2022 – Majlis penutup Seminar Fixed Wing Air Mobility and Maritime Force (FWAMMF) 2022 yang bertemakan “CAMARADERIE” telah diadakan di Century Pines Resort, Cameron Highland. Perasmian penutup seminar telah disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Panglima Tentera Udara, Mej Jen Dato’ Noor Mohamad Akmar bin Mohd Dom TUDM.
Pemangku Timbalan Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya berharap agar objektif utama Seminar FWAMMF tahun 2022 ini dapat dicapai dengan jayanya. Seminar yang berlangsung dari 22 hingga 24 Julai 2022 ini pada dasarnya bertujuan untuk membincangkan resolusi kerjaya dan hal-ehwal semasa anak kapal pesawat angkut. Ianya merupakan seminar tahunan bagi perjumpaan anak kapal pesawat angkut yang berkhidmat di dalam TUDM dan juga markas-markas ATM.
Seminar ini juga menjadi platform bagi pucuk pimpinan menyampaikan informasi tentang perancangan TUDM dalam pelaksanaan CAP 55 serta meningkatkan kesiagaan pengoperasian pesawat angkut dari semasa ke semasa.