ALOR SETAR, 22 Jul 22 - Lt Jen Dato' Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM buat julung kalinya telah mengadakan Lawatan Kerja sempena Pemeriksaan Tahunan Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU) di Kolej Tentera Udara selepas beliau mengambil alih jawatan sebagai Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (PPLU). Pemeriksaan Tahunan MPPLU ke KTU ini dilaksanakan bermula 18 Jul hingga 22 Jul 2022.
Ketibaan Lt Jen Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM dan isteri, Datin Lynette binti Tan Sri Mohamed di Pergerakan Udara KTU telah disambut oleh Ketua Staf MPPLU, Brig Jen Abdul Halim bin Othman TUDM; Komandan Kolej Tentera Udara, Brig Jen Ramli bin Mohd Abd Jabar TUDM bersama isteri Lt Kol Nesam Banu binti Mohammad Fahmi TUDM serta Pegawai-pegawai Eksekutif KTU.
Terdahulu, beliau telah mengambil tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kuarter sebelum meneruskan lawatan dan pemeriksaan. Panglima Pendidikan dan Latihan Udara serta isteri seterusnya dibawa ke Mes Perwira KTU bagi menghadiri Majlis 'Happy Hour' bersama Pegawai-pegawai KTU dan isteri.
Pada hari kedua, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara bersama deligasi membuat lawatan ke beberapa unit dan pusat latihan, antaranya Institut Latihan Instruktur Terbang (ILIT), INSPEN 1, INSPEN 2, ITAS, Cawangan Kejuruteraan dan Sekolah Latihan Pegawai (SLP). Lawatan ini bertujuan untuk memperkenalkan peranan dan fungsi unit-unit di dalam KTU di samping beliau melihat sendiri tahap keselamatan dan kesiapsiagaan di pasukan tersebut agar kekurangan dan kelemahan dapat dikenal pasti dan segera diperbetulkan.
PPLU turut diterbangkan dengan helikopter EC120B bersama Lt Kol Khairul Anuar bin Addeli TUDM, Pegawai Memerintah INSPEN 2 bagi meninjau kawasan latihan 'Area familiarisation' yang juga merupakan penerbangan sulung beliau dengan pesawat tersebut.
Selesai lawatan ke semua unit, PPLU telah meluangkan masa beriadah bersama Komandan, Pegawai-pegawai Eksekutif dan wakil pemain sukan memanah TUDM dengan aktiviti memanah bertempat di Padang Memanah, KTU.
Pada hari terakhir lawatan dan audit, Team Pemeriksaan MPPLU yang diketuai oleh Ketua Staf MPPLU, Brig Jen Abdul Halim bin Othman TUDM telah melaksanakan taklimat balas berkenaan beberapa teguran dan cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan pada masa akan datang sebelum menamatkan lawatan dan pemeriksaan di KTU.