KUALA LUMPUR, 4 April 23 - Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berkenan menerima Sembah Mengadap daripada Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, di Istana Hinggap Negeri Sembilan, Jalan Changkat Kuala Lumpur hari ini.
Detik bersejarah ini merupakan pertemuan pertama kali Panglima Tentera Udara bagi sembah mengadap memperkenalkan diri kepada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan setelah dilantik sebagai Panglima Tentera Udara Ke-20. Panglima Tentera Udara turut mempersembahkan taklimat tentang pengoperasian, pembangunan , hala tuju dan perkembangan semasa berkenaan Tentera Udara Diraja Malaysia. Beliau turut menjunjung kasih atas perkenan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menerima sembah mengadap yang merupakan penghormatan kepada beliau khususnya dan TUDM amnya.