ALOR SETAR, 5 Apr 23- Majlis Berbuka Puasa Warga Kolej Tentera Udara bersama Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah dilaksanakan bertempat di Surau Al Iman, Kolej Tentera Udara. Majlis yang berlangsung pada 14 Ramadan 1444H turut dihadiri Panglima Operasi Udara, Lt Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Zahani bin Zainal Abidin TUDM.
Ketibaan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM bersama delegasinya telah disambut oleh Komandan Kolej Tentera Udara, Brig Jen Ramli bin Mohd Abd Jabar TUDM serta semua Pegawai Eksekutif Kolej.
Di dalam majlis berbuka puasa ini, Panglima Tentera Udara telah menyampaikan sumbangan kepada anggota dan anak yang mengidap sakit kronik serta anggota yang mempunyai anak-anak istimewa. Penyampaian sumbangan kebajikan ini sebagai tanda keprihatinan TUDM kepada seluruh warga kolej dan diharap dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.
Sementara menunggu masuknya waktu maghrib, majlis diteruskan juga dengan Tazkirah Ramadan oleh Pegawai Agama Kanan Kolej, Mej Hashim bin Abdul Rahman sebelum azan dilaungkan menandakan waktu berbuka puasa. Selepas berbuka puasa dengan juadah ringan, semua hadirin menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu kemudiannya menikmati juadah berbuka puasa.
Panglima Tentera Udara dan delegasi serta semua jemputan kemudiannya bersama-sama menunaikan solat fardu Isyak, solat sunat Tarawih dan Witir. Selesai menunaikan solat, Panglima Tentera Udara serta para jemputan telah disajikan dengan jamuan moreh. Panglima Tentera Udara dan delegasi turut menyantuni dan beramah mesra bersama warga KTU sebelum beredar pulang.
Keprihatinan Panglima Tentera Udara dan delegasi yang hadir menyantuni warga kolej amat dihargai dan pihak kolej berterima kasih atas masa yang diluangkan oleh Panglima Tentera Udara dan delegasi sebagai tanda sokongan kepimpinan tertinggi TUDM.