KUALA LUMPUR, 19 Mac 2021- Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menerima suntikan vaksin bagi dos kedua selepas menerima dos pertama pada 26 Feb 21 yang lalu di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, hari ini.
Kepimpinan Tertinggi TUDM lain yang turut menerima suntikan vaksin dos kedua untuk imunisasi COVID-19 pada hari ini ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato' Muhamad Norazlan bin Aris TUDM serta Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM.
Selain itu, warga TUDM yang menerima suntikan vaksin pada peringkat pertama iaitu yang dikenalpasti untuk diberikan keutamaan khususnya petugas barisan hadapan turut diberikan suntikan vaksin dos kedua pada hari ini.
Program imunisasi COVID-19 di peringkat ATM amnya dan TUDM khususnya untuk Fasa pertama kini telah dan sedang giat dilaksanakan melibatkan seluruh warga TUDM di Malaysia. Usaha ini dilaksanakan dengan penuh komitmen melibatkan pegawai perubatan dan petugas kesihatan tentera dan awam di Pusat Penerimaan Vaksin di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan. Semoga dengan usaha dan ikhtiar yang dilaksanakan memberi nafas baharu untuk memerangi sepenuhnya wabak COVID-19 di dalam negara.
Lindung Diri, Lindung Semua