IPOH, 20 MAC 2021 – Seramai 391 Perajurit Muda Udara (PjM U) terdiri daripada 308 pelatih lelaki dan 83 pelatih wanita berjaya menamatkan latihan asas mereka pada upacara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 63/20 bertempat di Padang Kawad, Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh.
Perbarisan yang dilaksanakan secara statik dengan pemakaian pelitup separuh muka merupakan norma baharu bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ditetapkan kerajaan dipatuhi. Upacara perbarisan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM. Perbarisan melibatkan 391 PjM U terdiri daripada tiga (3) Flait serta diiringi Pancaragam Gabungan ATU dan Kolej Tentera Udara (KTU), Alor Setar di bawah pimpinan Leftenan Muhamad Haniff bin Che Razak TUDM.
Walaupun berhadapan dengan situasi cabaran peningkatan kes wabak Covid-19 di seluruh negeri, latihan PjM U yang mengambil masa selama 24 minggu ini bermula pada 1 Oktober 2020 sehingga 31 Mac 2021 berjaya dilaksanakan sehingga ke upacara Perbarisan Tamat Latihan PjM U pada hari ini. Latihan yang dibahagikan kepada tiga fasa telah dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan. Fasa pertama adalah penumpuan latihan asas ketenteraan. Fasa kedua pula menitikberatkan pelajaran serta akademik dan fasa ketiga adalah melibatkan latihan, ujian praktikal dan penekanan pembentukan sahsiah sebagai seorang ahli udara yang berkualiti dan berdisiplin.
Pada Perbarisan PjM U kali ini, PjM U Muhammad Fitri bin Mahadir telah dipilih sebagai penerima Anugerah PjM U Terbaik Keseluruhan dan menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara. Ianya berdasarkan penilaian keseluruhan di dalam fasa-fasa yang ditempuhi oleh setiap pelatih. Bagi Anugerah PjM U Akademik Terbaik telah dinobatkan kepada PjM U Muhammad Sollahuddin bin Aziz dan menerima Piala Pusingan Panglima Pendidikan Dan Latihan Udara manakala Anugerah PjM Udara Penembak Terbaik dinobatkan kepada PjM U Ammar Syafeq bin Mustafa dan menerima Piala Pusingan Asisten Ketua Staf Tadbir. Flait Charlie dianugerahkan sebagai Flait Terbaik Keseluruhan dengan menerima Piala Pusingan Komandan. Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara diiringi Komandan Akademi Tentera Udara, Kolonel Baharudin bin Abu Hassan TUDM.
Panglima Tentera Udara di dalam ucapan pada perbarisan hari ini telah menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada semua PjM U yang berjaya menamatkan latihan kerana mereka merupakan generasi baharu warga TUDM yang mempunyai satu tekad, azam dan iltizam yang kuat serta matlamat yang jelas untuk mempertahankan kedaulatan ruang angkasa negara dengan penuh komited dan berdedikasi.
“Selama hampir 63 tahun latihan asas PjM U bermula, pihak pengurusan latihan telah banyak melakukan penambahbaikan demi mempertingkatkan kemahiran dan kompetensi latihan agar ianya mampu melahirkan anggota TUDM yang cergas berdisiplin, efektif dan efisyen untuk menjadi perwira negara yang sentiasa bersedia dengan keperluan operasi yang telah ditetapkan oleh pucuk pimpinan” ujar Panglima Tentera Udara. Ianya selari dengan dua daripada lapan teras utama Perintah Ulung Panglima Tentera Udara iaitu Pembangunan Sumber Manusia dan Memperkasakan Keupayaan Operasi TUDM.
Panglima Tentera Udara turut menzahirkan penghargaan kepada Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara, semua pegawai dan barisan jurulatih serta staf Akademi Tentera Udara yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan latihan Perajurit Muda Udara Siri 63/2020 ini. Ucapan terima kasih juga dizahirkan kepada ibu bapa dan keluarga PjM U di atas sokongan semangat dan dorongan yang telah diberikan kepada PjM U untuk mereka terus mengharungi latihan dengan jayanya.
Beliau turut menyeru kepada semua peringkat anggota termasuk PjM U yang berjaya menamatkan latihan hari ini agar bersama-sama berusaha mendukung Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau CAP 55. Pelan ini merupakan kesinambungan daripada Pelan Air Force Next Generation (AFNG) yang telah berakhir pada tahun 2020. Pelan CAP 55 merupakan satu perancangan strategik jangka panjang TUDM sehingga tahun 2055 yang merangkumi penstrukturan semula ketumbukan aset dan sumber manusia bagi memastikan Tentera Udara Diraja Malaysia terus relevan dengan arus perkembangan geo politik serantau.
Berikutan negara masih berhadapan dengan cabaran mendepani pandemik Covid-19, peristiwa bersejarah ini dilaksanakan tanpa kehadiran ibu bapa dan ahli keluarga PjM U buat tahun kedua semenjak negara diancam wabak berbahaya tersebut pada Mac 2020. Walau bagaimanapun, ibu bapa dan ahli keluarga PjM U masih dapat menyaksikan detik bersejarah kepada anak-anak mereka menerusi siaran langsung yang telah dilaksanakan oleh TUDM melalui live streaming di media sosial rasmi TUDM.
Kesemua PjM U ini seterusnya akan ditempatkan di pasukan-pasukan yang telah ditetapkan dan mereka kemudiannya akan menghadiri kursus asas ketukangan bagi memantapkan pengetahuan mengikut ketukangan masing-masing.
Turut hadir ke upacara perbarisan adalah Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mejar Jeneral Mohd Shahada bin Ismail TUDM serta beberapa pegawai kanan TUDM.