KUALA LUMPUR, 29 Mac 2022 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merekodkan sejarah selaku pengendali pesawat A400M yang pertama merekodkan lebih 10,000 jam penerbangan di seluruh dunia pada tahun 2021. Pencapaian ini diraikan oleh Airbus ketika berlangsungnya Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (Defence Services Asia) 2022, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Johan Pelissier, Ketua, Asia-Pasifik Airbus Defence and Space telah menyampaikan anugerah kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, sebagai tanda penghargaan atas pencapaian penuh bersejarah ini. Majlis ini turut dihadiri oleh Jose Corcia, Ketua, Airbus Defence dan Space (Malaysia, Singapura, Brunei); Raymond Lim, Wakil Ketua Negara Airbus Malaysia dan Addi Faiz Adnan, Ketua Airbus Defence dan Space Malaysia, manakala di pihak TUDM turut dihadiri oleh Asisten Ketua Staf Perancangan & Pembangunan, Mej Jen Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM; Ketua Pengarah Sekretariat Markas Tentera Udara, Mej Jen Dato’ Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM; Asisten Ketua Staf Kejuruteraan, Brig Jen Hishammuddin Bin Abdul Rahman TUDM; Pegawai Memerintah No 8 Skn, Lt Kol Yusrizal bin Zain TUDM serta beberapa wakil dari TUDM dan pihak Airbus.
Untuk rekod, TUDM merupakan pelanggan eksport pertama bagi program ini dan pengendali pesawat A400M yang pertama di rantau Asia Pasifik. Sejak beroperasi dengan TUDM dari tahun 2015, pesawat A400M telah berupaya mengubah corak operasi pesawat pengangkutan udara, dengan memainkan peranan penting dalam pelbagai misi. Ini termasuk pengangkutan kargo dan penumpang, misi kemanusiaan dalam bantuan bencana, pengangkutan bagi muatan berat serta menyokong strategi kebangsaan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, pengangkutan alatan perubatan serta operasi pengisian minyak di udara (Air-to-Air Refueling).
Keupayaan mencapai rekod jam serta kitaran penerbangan yang jauh lebih tinggi berbanding pengendali pesawat A400M yang lain, menjadikan TUDM diiktiraf selaku peneraju fleet global bagi pesawat A400M, dan bertindak sebagai sumber rujukan berharga bagi kesemua pelanggan pesawat A400M dan Airbus sedia ada.
Baru-baru ini, TUDM telah menaiktaraf keupayaan taktikal pesawat A400M yang membolehkan pesawat tersebut melaksanakan misi seperti hantaran udara melalui penerjunan statik dan bebas serta penerbangan pada ketinggian aras rendah.