KUALA LUMPUR, 30 Mac 22 - Pemangku Raja Pahang, KDYMM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan mencemar duli melawat booth pameran DSA & NATSEC Asia 2022. Keberangkatan tiba baginda telah disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Mohamad Salleh bin Hj Osman TUDM.
Di lawatan ini baginda telah berkenan untuk melawat ruang pameran tingkat satu (1) sehingga tingkat tiga (3) di dalam Pusat Pameran & Dagangan Antarabangsa Malaysia atau MITEC. Lawatan Pemangku Raja Pahang bermula dengan lawatan ke ruang pameran DRB- HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DefTech). Di dalam lawatan ini, baginda telah melihat sendiri produk dan teknologi yang dipamerkan oleh syarikat tersebut. Baginda seterusnya dibawa ke booth pameran MilDef International Technologies (MilDef). Syarikat MilDef ini merupakan syarikat milik tempatan yang membangunkan teknologi pertahanan seperti RENTAKA dan TARANTULA. Baginda turut berkenan melawat ruang pameran dari syarikat dan industri pertahanan seperti FNSS Savunma Sistemleri A.S, Turkish Aerospace, SAPURA, Tentera Darat Malaysia, National Aerospace & Defence Industries (NADI), Weststar, Pakistan Ordnance Factories dan lain-lain lagi.
Turut mengiringi lawatan Pemangku Raja Pahang adalah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM; AKS Operasi & Strategi, Mej Jen Dato’ Zulkifli bin Hj Hamid TUDM; Timbalan AKS Perancangan dan Pembangunan, Brig Jen Mohd Sani bin Omar TUDM serta pegawai-pegawai kanan TUDM.