SUBANG, 24 Jun 21 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada hari ini telah mengaturgerak sebuah pesawat A400M dari No. 22 Skuadron yang membawa 20 tan bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak, sardin tin, krimer manis, sos cili, kicap, gula, garam, biskut, tepung gandum, bihun, serbuk kopi dan serbuk teh ke Wilayah Persekutuan Labuan yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada 15 Jun 21 lalu.
Misi bantuan yang dilaksanakan oleh TUDM ini adalah usahasama di antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Labuan. Bekalan keperluan makanan asas yang dihantar ini akan diagihkan kepada kira-kira 13,800 keluarga melibatkan lapan (lokaliti yang dikenalpasti sebagai berisiko tinggi di negeri tersebut.
Seawal jam 7.00 pagi tadi, anggota petugas TUDM dari Cabang Pergerakan, Pangkalan Udara Subang bersama anak kapal pesawat A400M telah bertungkus lumus melaksanakan proses memuatnaik kotak-kotak bekalan makanan ke badan pesawat. Proses yang mengambil masa hampir satu setengah jam ini turut disaksikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Rina binti Mohd Harun dan KSU KPWKM, YBhg Dr. Maziah binti Che Yusoff. Timbalan Ketua Staf MPOU, Brig Jen Dato’ Othman bin Ahmad TUDM dan Pegawai Laksana PU Subang, Kol Mohammad Jafri bin Suboh TUDM turut mengiringi dan menjelaskan tentang pengoperasian misi penghantaran udara tersebut.
Pesawat yang melaksanakan misi penghantaran telah diterbangkan oleh Mej In'Amul Hasan bin Shuhaimy TUDM bersama Kapt Syahmi bin Nazri TUDM dan Kapt Wan Ubaidullah bin Wan Hanapi TUDM selaku juruterbang. Manakala Kapt Muhammad Hilmi bin Che Mahadi TUDM dan Kapt Muhammad Ashraf Safwan bin Jamiasmara TUDM selaku pembantu juruterbang. Anak kapal lain yang turut terlibat adalah dua (2) anggota kuartermaster udara iaitu FSjn Tuan Mohd Razali bin Tuan Abdullah serta Sjn U Nazmil Hafis bin Mohamad Nayan dan dua (2) orang kru kapal iaitu FSjn Mohd Hariri bin Safiee serta Sjn U Hairil bin Haris. Pesawat telah terbang dari Pangkalan Udara Subang pada jam 9.00 pagi tadi dan selamat tiba di Pangkalan Udara Labuan jam 11.30 pagi.
Penerbangan yang dilaksanakan oleh TUDM pada hari ini merupakan penerbangan keempat melibatkan penghantaran bantuan bekalan makanan ke WP labuan semenjak pelaksanaan PKPD di negeri tersebut. Turut dibawa bagi penerbangan kali ini ialah peralatan perubatan Covid-19 daripada KKM dan Institut Perubatan Penerbangan (IPP) serta barangan peralatan bagi Hospital Medan ATM.
TUDM akan terus komited dalam melaksanakan tugas dan bersiap sedia sebilang masa untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. TUDM juga turut mendukung usaha kerajaan untuk memastikan masyarakat sentiasa selamat dan sejahtera terutamanya dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua anak kapal pesawat A400M terlibat, anggota PU Subang, anggota PU Labuan, Kementerian dan agensi-agensi yang turut terlibat bagi menjayakan misi penghantaran pada hari ini.