KENINGAU, 15 Apr 2023 - Mayat Mendiang Mej Kitai bin Tongsip TUDm yang meninggal dunia pada 14 April 2023 di Hospital Banting telah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Toboh Laut, Keningau, Sabah kira-kira jam 12.00 tengah hari. Urusan pengebumian dibantu oleh pihak Pangkalan Udara Labuan dan Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2).
Terdahulu, mayat mendiang telah diuruskan oleh pihak gereja dan pihak Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), Bukit Ibam sebelum diterbangkan ke Pangkalan Udara Subang pada petang 14 April 2023. Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM bersama Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM serta pegawai-pegawai kanan TUDM telah menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang sebelum pesawat C130 H membawa mayat mendiang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk ke kampung halaman beliau untuk disemadikan di sana.
Turut mengiringi sepanjang perjalanan sehingga urusan pengebumian selesai disempurnakan ialah Panglima Rejimen TUDM, Brig Jen Meor Ahmad Kamal bin Hj Meor Termizi TUDM; Pegawai Memerintah SLTT, Mej Raymond bin Radsung TUDM serta beberapa pegawai dan anggota dari PASKAU dan SLTT . Urusan Pengebumian telah dilaksanakan secara tradisi ketenteraan. Panglima Rejimen TUDM telah menyampaikan sumbangan bantuan pengebumian, surat ucapan takziah serta penyerahan bendera TUDM kepada isteri mendiang, Puan Jakyinta binti Joseph sebagai tanda menghargai jasa bakti mendiang yang telah berkhidmat untuk perkhidmatan TUDM dan negara. Mendiang turut meninggalkan seorang anak lelaki berusia 6 tahun.
Seluruh warga TUDM turut merasakan kehilangan besar seorang pegawai yang berdedikasi dan sangat komited terhadap tugas yang diamanahkan khususnya kepada pasukan Pasukan Khas TUDM (PASKAU) sepanjang mendiang berkhidmat. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan semoga mereka cekal dan tabah menghadapi ujian pemergian insan tersayang.