KUALA LUMPUR, 2 Mac 2023 - Leftenan Jeneral Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM,Timbalan Panglima Tentera Udara telah menghadiri Majlis Pelancaran Pusat Data Bersepadu (PUSPADU) Kementerian Pertahanan yang disempurnakan oleh Dato’ Seri Muez bin Abd Aziz, Ketua Setiausaha bertempat di Dewan Perkara, Wisma Perwira ATM hari ini.
PUSPADU merupakan infrastruktur maklumat kritikal yang menjadi hub menempatkan data dan perkhidmatan digital “End to End” (E2E), aplikasi dan sistem kritikal, pangkalan data, dan arkib digital milik Kementerian Pertahanan termasuklah daripada JHEV ATM, STRIDE dan perkhidmatan ATM.
PUSPADU turut berfungsi sebagai koridor digital yang menghubungkan Ibu Pejabat Wisma Pertahanan dengan semua markas, formasi pertahanan yang terletak di kem, pangkalan dan wilayah operasi ATM menerusi sambungan kampus SDLAN dan SDWAN, rangkaian selamat MINDEF*NET dan MyGOV*NET. PUSPADU turut dibina bersama-sama dengan bangunan pencawang baharu sebagai sokongan “redundancy” bekalan tenaga elektrik.
Ia juga merupakan Green Data Centre (GDC) yang mendapat pengiktirafan "Green Climate Initiative" (GCI) yang direkabentuk dengan mengambil kira keberkesanan, kelestarian, kemampanan dan jaminan keselamatan bagi menyimpan “crown jewel” data dan sistem seperti yang diaspirasikan dalam Kertas Putih Pertahanan dan Teras Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) MINDEF (2021-2025).
Serentak dengan itu juga turut diadakan pelancaran bagi Pelan Strategik Pendigitalan MINDEF 2021-2025 (PSP) dan Polisi Keselamatan Siber (PKS). PSP MINDEF 2021-2025 telah siap dibangunkan dan mendapat kelulusan JPICT Bil. 1/2022 pada bulan Januari 2022. PSP MINDEF 2021-2025 mengandungi lima Teras, 14 Initiatif, 19 Program dan 46 Aktiviti yang dirancang sejajar dengan Pelan Strategik Digital Nasional (PSDN). Manakala Polisi Keselamatan Siber Kementerian Pertahanan (PKS MINDEF) pula merupakan dasar yang menggariskan kehendak, komitmen dan jangkaan Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan terhadap aspek keselamatan siber dan keselamatan maklumat. PKS mengambil kira keperluan kementerian dari aspek keselamatan organisasi, perlindungan aset maklumat, perkhidmatan infrastruktur maklumat kritikal seperti pusat data dan rangkaian, data dan rekod digital terperingkat, elemen sumber manusia, dan penggunaan teknologi digital dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan digital di Kementerian Pertahanan.