PERASMIAN KOMPLEKS MARKAS PEMERINTAHAN OPERASI UDARA DAN MARKAS PEMERINTAHAN BANTUAN UDARA MELESTARIKAN TERAS-TERAS DI DALAM PERINTAH ULUNG PTU

1 2 3
4 5 6
10 11 12

 

SUBANG, 10 Disember 2020 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menyempurnakan Majlis Perasmian Kompleks Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) dalam rangka lawatan kerja beliau ke Pangkalan Udara Subang (PU Subang). Ketibaan PTU telah disambut oleh Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM.

Turut serta bersama Panglima Tentera Udara ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM, pegawai-pegawai kanan TUDM serta warga MPOU.

PTU di dalam Perintah Ulung beliau telah memberikan penekanan terhadap lapan teras dan pengoperasian MPOU adalah teras kelima iaitu memastikan perpindahan dilaksanakan mengikut jangkamasa yang ditetapkan dan memastikan operasi TUDM tidak terjejas di dalam tempoh perpindahan berlaku. Kompleks baharu ini telah beroperasi pada Januari 2020 dan perasmian kompleks MPOU pada tarikh bersejarah ini adalah manifestasi dari Perintah Ulung PTU sebaik memegang tampuk pimpinan tertinggi TUDM pada 3 Januari 2020.

Di majlis ini, PTU telah diberi penghormatan sebagai tetamu pertama yang berkunjung ke ruang rehat pegawai-pegawai MPOU yang diberi nama ‘Eagle Eye’. Nama tersebut dipilih bersempena dengan simbolik kepada kesinambungan ruang yang serupa yang terdapat di Markas Tentera Udara iaitu Eagle Nest. Beliau juga turut diberi penghormatan merasmikan atrium AWC yang seterusnya diberi nama “Krueger Atrium” bersempena ‘call sign’ beliau iaitu ‘Krueger’ dan mengabadikan jasa beliau yang mencetuskan idea kewujudan AWC di dalam perkhidmatan TUDM bagi mempertingkatkan keupayaan kesiagaan TUDM berada di tahap paling optimum.

Pengoperasian Kompleks MPOU ini memberikan impak positif dari segi penjimatan kos logistik, memudahkan segala urusan pentadbiran yang berkaitan, meningkatkan keberkesanan merancang, melaksanakan dan sentiasa bersiapsiaga dari segi aset dan modal insan untuk diaturgerakkan. Malahan turut dipentingkan ialah mewujudkan semangat ‘sense of belonging’ di kalangan warga MPOU khususnya di samping mempertingkatkan lagi tahap kecekapan dan kualiti kerja warganya dengan kemudahan ruang pejabat yang lebih selesa dan persekitaran kerja yang kondusif.

Hari ini turut mencipta sejarah buat TUDM apabila PTU turut merasmikan Bangunan Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU). Ketibaan PTU telah disambut oleh Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM dan pengurusan tertinggi MPBU. Bangunan baharu ini turut menyediakan kemudahan-kemudahan yang lebih baik termasuk ruang pejabat yang lebih selesa, persekitaran kerja yang lebih kondusif dan struktur pentadbian yang lebih sistematik. Pengoperasian Bangunan MPBU ini juga mampu meningkatkan kualiti pengurusan dan keupayaan logistik TUDM sekaligus memperkasakan keupayaan operasi serta keupayaan senggaraan TUDM bertepatan dengan teras-teras yang terkandung di dalam Perintah Ulung PTU.

PTU turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Panglima Operasi Udara, Panglima Bantuan Udara, Komander PU Subang serta warga MPOU, MPBU dan warga pangkalan atas komitmen yang telah diberikan untuk terus memacu kecemerlangan TUDM sebagai organisasi yang profesional dan sebuah “angkatan berspektrum penuh” (a full spectrum force) yang versatil, berwibawa, responsif dan jitu.