![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUANTAN, 25 Julai 2025 – Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM hari ini telah sembah menghadap Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan.
Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sembah menghadap ini merupakan pertemuan sulung Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM bersama Baginda sejak beliau dilantik sebagai Panglima Tentera Udara Ke-21 pada 26 Jun 2025.
Panglima Tentera Udara menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang selaku Kolonel Yang Di-Pertua Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berkenan menerima sembah taklimat berkaitan hala tuju dan perancangan strategik TUDM. Taklimat tersebut antara lain memberi penekanan kepada usaha memperkukuh keupayaan TUDM sebagai kuasa udara yang kredibel dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara di kedua-dua wilayah tanah air.
Seusai sesi menghadap, Panglima Tentera Udara turut menunaikan solat Jumaat bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Masjid Lama Permatang Badak, Kuantan.
Mengiringi Panglima Tentera Udara adalah Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari bin Dato’ Haji Yahya TUDM; Panglima Wilayah Udara 2; Mejar Jeneral Dato’ Haji Norli Hisham bin Alwi TUDM; Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brigadier Jeneral Ahmad Edros bin Ahmad Osman TUDM serta beberapa Pegawai Kanan TUDM yang lain.