![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUCHING, 13 Ogos 21- Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menguntukkan masa menemui waris anggota TUDM yang meninggal dunia di dalam kejadian insiden tembakan yang berlaku pada kejadian pada 13 Ogos 2021 jam lebih kurang 7.15 pagi di Skn 330, Kota Samarahan, Kuching Sarawak. Pertemuan bersama waris anggota di Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Kuching turut diiringi oleh Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM dan beberapa pegawai kanan TUDM.
Di dalam insiden berkenaan, Allahyarham Kpl U Mohammad Ehsan bin Sehamat, Mendiang Kpl U Ho Swee Boon dan Mendiang LUK Nesly Anak Nabau telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Allahyarham Kpl U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas bin Wan Sabli telah meninggal dunia di IJN Kota Samarahan, Sarawak ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah. Waris kesemua anggota berkenaan telah dimaklumkan mengenai kematian mereka melalui pihak pengurusan TUDM di Pangkalan Udara Kuching.
Terdahulu, PTU telah meninjau lokasi kejadian di Kota Samarahan untuk mengetahui dengan lebih jelas kejadian insiden berkenaan serta meluangkan masa berjumpa anggota TUDM di Skn 330 bagi memberikan sokongan moral kepada anggota TUDM.
PTU juga menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga kesemua anggota TUDM yang meninggal dunia dan menyampaikan sumbangan dari Tabung Kebajikan TUDM dan sumbangan bantuan kebajikan kepada waris terlibat.
Pihak TUDM telahpun menyerahkan kes berkenaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan dan juga meminta semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh pihak PDRM selesai di samping menghormati sensitiviti waris dan keluarga anggota yang meninggal dunia.
Semoga keluarga redha dan sabar dengan ujian yang menimpa dan pihak TUDM sedang membuat segala urusan berkaitan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris anggota.