![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
SUBANG, 4 Ogos 2025 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) sebagai langkah segera menangani krisis kekurangan air dan peningkatan jerebu yang melanda beberapa negeri akibat cuaca panas berpanjangan.
Empangan Bukit Merah, Semanggol, Perak kini berada pada paras kritikal 12.21% atau 19.80 kaki, menjejaskan bekalan air untuk ribuan penduduk dan sektor pertanian, khususnya sawah padi. Keadaan ini juga mengancam sumber perikanan, industri pelancongan, serta fungsi mitigasi banjir di kawasan berkenaan.
Operasi ini menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada jam 11.30 pagi dengan membawa larutan garam seberat 6,000 liter. Penyemburan dilakukan secara terancang pada ketinggian antara 5,000 hingga 8,000 kaki, menyasarkan awan kumulus berpotensi hujan.
Dalam masa 45 minit selepas proses pembenihan, hujan berjaya diturunkan di kawasan tadahan empangan. Teknik pembenihan basah ini dilaksanakan oleh pakar-pakar MetMalaysia dengan sokongan logistik dan penerbangan oleh kru TUDM.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa OPA merupakan intervensi menyeluruh untuk melindungi kesihatan awam, keselamatan makanan, kelangsungan ekonomi luar bandar dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan komited bertindak proaktif dan berasaskan sains dalam menghadapi cabaran iklim dan cuaca ekstrem. Operasi ini bukan hanya reaktif, tetapi pelaburan jangka panjang bagi memastikan daya tahan negara dalam menghadapi perubahan iklim yang semakin mencabar,” katanya.
TUDM menegaskan bahawa penglibatan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab angkatan udara untuk sentiasa bersedia membantu kerajaan dan rakyat dalam menangani bencana dan krisis nasional.
Melalui kerjasama erat antara NADMA, MetMalaysia dan TUDM, operasi ini menjadi bukti kesiapsiagaan negara dalam menangani kesan perubahan iklim secara pantas dan berkesan – memastikan setiap titisan hujan yang diturunkan membawa sinar harapan kepada jutaan rakyat Malaysia.