PUTRAJAYA, 29 Mac 21 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM hari ini menghadiri Mesyuarat Lembaga Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) Ke-83 yang dipengerusikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM. Mesyuarat turut dihadiri ahli tetap iaitu terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Panglima-panglima Perkhidmatan dan Timbalan Naib Canselor UPNM.
Mesyuarat secara khususnya membincangkan perkara-perkara pentadbiran berkaitan MTAT dan sebagai wadah ke arah memperkasakan lagi institusi ini sebagai salah satu Pusat Intelektual Ketenteraan yang berprestij di dunia.
Dalam pada itu, mesyuarat turut diserikan dengan Majlis Pelancaran Logo Jubli Emas MTAT sempena 50 tahun penubuhannya. MTAT telah ditubuhkan pada tahun 1971 dan dirasmikan oleh YAB Tun Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Malaysia Ke-2 pada ketika itu. Cetusan idea penubuhan MTAT disuarakan sendiri oleh beliau sejak tahun 1969 bagi memenuhi kehendak dan keperluan-keperluan ATM terutamanya untuk melahirkan pegawai-pegawai terlatih dan profesional di peringkat pertengahan.
Premis Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) kini beroperasi di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya setelah premis lama di Haigate, Jalan Padang Tembak ditutup secara rasmi pada 31 Jan 2020.
MTAT merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi ATM yang menyediakan pengajian profesional di peringkat Diploma Lepasan Ijazah kepada pegawai-pegawai berpangkat Mejar atau setaraf daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. Pengajian ini adalah bagi bertujuan untuk melengkapkan dan menyediakan mereka untuk menjawat jawatan di peringkat yang tertinggi. Maktab ini turut menawarkan tempat kepada pegawai dari agensi kerajaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta pegawai tentera dari luar negara.