SENDAYAN, 2 November 2020 – Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM secara rasminya dilantik sebagai Panglima Pendidikan dan Latihan Udara yang baharu setelah mengambil alih tampuk pemerintahan Markas Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU) daripada Lt Jen Dato’ Roshaimi bin Zakaria TUDM yang akan memulakan cuti dan seterusnya menamatkan perkhidmatannya di dalam TUDM.
Upacara Serah Terima Tugas walaupun diadakan secara ringkas tetapi penuh bersejarah ini telah disaksikan oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM; Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato' Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima-panglima Markas Pemerintahan serta kehadiran minimum warga TUDM di bawah naungan MPPLU.
Mengambil serius langkah pencegahan COVID-19, majlis yang diadakan di Wisma Perwira, Pangkalan Udara Sendayan pagi tadi diadakan mengikut prosedur langkah pencegahan yang telah ditetapkan iaitu dengan membuat saringan kesihatan dengan melakukan pemeriksaan suhu badan setiap individu, amalan kebersihan diri dengan penggunaan "hand sanitizer" serta mengekalkan penjarakan fizikal yang selamat.
Seluruh warga TUDM mengucapkan Selamat Bersara kepada Lt Jen Dato’ Roshaimi bin Zakaria TUDM dan sekalung penghargaan serta terima kasih di atas segala jasa bakti beliau sepanjang berkhidmat di dalam perkhidmatan TUDM khususnya dan ATM amnya. Sekalung tahniah buat Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM di atas pelantikan sebagai Panglima Pendidikan dan Latihan Udara yang baharu.