MAJLIS PENYAMPAIAN SAYAP PENERBANGAN JURUSENSOR SENJATA, JURUSENSOR SENJATA-MARITIM, JURUMALIM DAN JURUTERA PENERBANGAN TAHUN 2023

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

SUBANG, 7 DIS 23 - Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan bagi Kursus Peralihan Jurusensor Senjata (JSS) Pesawat F/A-18D Hornet Siri 14/21, Kursus Peralihan Jurusensor Senjata-Maritim (JSS-M) Pesawat CN235 Siri 7/21, Kursus Asas Jurumalim (JM) Pesawat C130H Siri 1/23 dan Kursus Asas Jurutera Penerbangan (JP) Pesawat C130H Siri 1/21 telah berlangsung hari ini bertempat di Mes Wira Angkasa, Pangkalan Udara Subang (PU Subang).

Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM. Seramai 17 orang pegawai muda telah menerima sayap penerbangan pada hari ini setelah mereka berjaya menamatkan kursus-kursus yang dikelolakan oleh Markas Wilayah Udara 1 (MAWILUD 1) bagi Kursus Peralihan JSS Pesawat F/A-18D Hornet, Kursus Asas JM dan JP Pesawat C130H dan Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2) bagi Kursus Peralihan JSS-Maritim Pesawat CN 235.

Daripada jumlah keseluruhan 17 pegawai, tiga(3) pegawai mengikuti Kursus Peralihan JSS Pesawat F/A-18D Hornet, lima (5) pegawai nagi Kursus Peralihan JSS-Maritim Pesawat CN 235, lima (5) pegawai mengikuti Kursus Asas JM Pesawat C130H dan empat(4) pegawai mengikuti Kursus Asas JP Pesawat C130H.

Latihan asas penerbangan yang telah dilaksanakan ini bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran asas dalam meneruskan kerjaya sebagai seorang anak kapal yang akan mempertahankan kedaulatan negara. Oleh itu, kekuatan fizikal dan mental pada tahap yang tinggi serta komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada semua penuntut sepanjang menjalani latihan asas penerbangan tersebut amat diperlukan.

Dalam majlis ini, Panglima Tentera Udara juga turut menyampaikan Anugerah Penuntut Kursus Terbaik bagi setiap kursus. Menepati kualiti dan kriteria yang ditetapkan, Lt Muhammad Akmarul Syahmie bin Mohd Emrom TUDM, anak kelahiran dari Kuala Lumpur dan graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah dinobatkan sebagai Penuntut Terbaik Kursus Peralihan JSS Pesawat F/A-18D Hornet. Manakala Lt Mohammad Asraf bin Abd Samad TUDM, anak kelahiran dari Kota Tinggi, Johor dan graduan dari UPNM telah dinobatkan sebagai Penuntut Terbaik Kursus Peralihan JSS-Maritim Pesawat CN 235. Bagi Penuntut Terbaik Kursus Asas JM Pesawat C130H pula telah dinobatkan kepada Lt Muhammad Aizat bin Enchek Muda TUDM, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan dan graduan dari UPNM. Manakala Penuntut Terbaik Kursus Asas JP Pesawat C130H telah dinobatkan kepada Lt Nur Muhammad Sufi bin Baharuddin TUDM, anak kelahiran Langkawi, Kedah dan juga merupakan graduan dari UPNM.

Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penuntut yang berjaya menamatkan kursus masing-masing. Beliau turut mengingatkan kepada para penerima sayap penerbangan bahawa pemakaian sayap ini merupakan satu titik permulaan. Keikhlasan dalam pelaksanaan tugas hendaklah dijadikan tonggak bagi memacu kesinambungan kecemerlangan di peringkat yang seterusnya seiring dengan perubahan cabaran yang sentiasa dinamik. Tambah beliau, mereka juga perlu sentiasa bersedia menghadapi Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau CAP55. Pengetahuan dan tahap kemahiran perlu sentiasa ditingkatkan serta progresif di dalam mengendalikan aset-aset masa hadapan selari dengan peningkatan keupayaan kuasa udara. Panglima Tentera Udara turut mengingatkan bahawa mereka adalah elemen penting dalam mencapai aspirasi menjadikan TUDM sebuah angkatan udara yang relevan dan mampan dalam melindungi serta mempertahankan kedaulatan dan kepentingan ruang udara negara. Beliau turut menyeru semua para penuntut khususnya, untuk bersama- sama berusaha ke arah matlamat tersebut, sentiasa berusaha menjadi yang terbaik dan memberikan komitmen yang tinggi, kerana perjuangan merupakan sesuatu yang tidak mudah, berbahaya dan berisiko tinggi.

Beliau sentiasa menekankan semua untuk sentiasalah memegang teguh nilai-nilai teras TUDM iaitu Integriti (Integrity), Kecemerlangan (Excellence), Keberanian (Courage), Semangat Setia Kawan (Espirit De Corp) dan Mengutamakan Perkhidmatan Melebihi dari Diri Sendiri (Service Before Self).

Turut hadir dalam majlis ini adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Pendidikan & Latihan Udara, Lt Jen Dato' Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM dan Pegawai-pegawai Kanan TUDM.

 

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer