SUBANG, 7 Dis 23 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah TUDM bertempat di Dewan Ababil Pangkalan Udara Subang. Turut hadir ke majlis pelancaran ini ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM dan pegawai-pegawai kanan serta warga TUDM.
Majlis ini terlebih dahulu dimulakan dengan pelancaran montaj dan seterusnya Panglima Tentera Udara menandatangani buku PAR TUDM sebagai gimik pelancaran. Panglima Tentera Udara turut menyerahkan buku PAR TUDM kepada Timbalan Panglima Tentera Udara, Panglima Operasi Udara, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara dan Panglima Bantuan Udara sebagai simbolik komitmen TUDM dalam mengekang dan mencegah salah laku melibatkan rasuah sejajar dengan nilai teras TUDM yang pertama iaitu Integriti.
Penghasilan Pelan Antirasuah TUDM (PAR TUDM) ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan dan ATM untuk memperkasakan pelan tindakan dan inisiatif yang berteraskan penerapan budaya berintegriti ke arah pembanterasan gejala rasuah di dalam TUDM. Selain daripada itu, PAR TUDM juga merupakan salah satu usaha TUDM dalam usaha dalam meningkatkan produktiviti untuk merealisasikan agenda transformasi TUDM ke arah sebuah organisasi yang profesional, mengamalkan tadbir urus yang baik, berintegriti dan bebas rasuah.
Objektif utama pembangunan Pelan Antirasuah TUDM adalah seperti berikut:
1. Mendukung usaha pencegahan rasuah yang terkandung di dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, Pelan Antirasuah Kementerian Pertahanan 2020-2024 dan Pelan Antirasuah ATM.
2. Menyediakan pelan pencegahan jenayah rasuah di peringkat TUDM supaya dapat menangani dan mencegah jenayah rasuah di kalangan warga TUDM secara lebih cekap, berkesan dan menyeluruh.
3. Menggerakkan usaha penggemblengan kerjasama bagi pencegahan rasuah dan pembudayaan integriti di seluruh TUDM secara bersepadu.
Pembangunan PAR TUDM ini melibatkan beberapa siri bengkel yang telah dilaksanakan pada tahun 2021 dan awal 2022. Peserta bengkel pembangunan pelan ini terdiri daripada Pegawai Integriti dari Markas/Pangkalan/Unit TUDM, Cawangan Perundangan, Cawangan Provos Marsyal TUDM dan dibantu secara kolaborasi dengan pihak Unit Integriti MINDEF yang bertindak sebagai fasilitator.
Panglima Tentera Udara turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada AKS Tadbir selaku Pengerusi Jawatankuasa Antirasuah TUDM, Seksyen Integriti TUDM dan semua yang terlibat dalam usaha menerbitkan Pelan Antirasuah TUDM ini. Beliau percaya pelan ini akan dapat dijadikan sebagai garis panduan dan sumber rujukan bagi pengurusan tadbir urus yang efektif melalui pelbagai inisiatif yang telah digariskan bagi setiap peringkat di dalam TUDM dalam usaha mewujudkan warga TUDM yang berintegriti dan bebas rasuah.