SENDAYAN, 11 Ogos 22 – Seramai 30 pegawai daripada pelbagai Cawangan dan Unit dan termasuk (2) dua pegawai dari Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) telah berjaya menamatkan Kursus Pegawai Skuadron atau Squadron Officer Course (SOC) Siri 97/22. Majlis Penutup kursus telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM di Dewan Banquet, Wisma Perwira PU Sendayan. Majlis ini turut disaksikan oleh Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Zahani bin Zainal Abidin TUDM; Ketua Staf Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara, Brig Jen Abdul Halim bin Othman TUDM; Komander Pangkalan Udara Sendayan, Kol Ahmad Rashidi bin Ithnin TUDM; Wakil Kedutaan Republik Indonesia, Kol Penerbang Yudha Irawan dan Pegawai Memerintah INSKEP, Lt Kol Nasruddin bin Khalid TUDM.
Turut berlangsung semasa Majlis Penutup tersebut adalah pembentangan debat kajian kes oleh para peserta kursus yang bertajuk "The Impact of Defense Industry Collaboration in Enhancing RMAF Capabilities". Kursus ini telah dilaksanakan selama 10 minggu bermula 7 Jun 2022 di INSKEP, PU Sendayan, merangkumi modul General Service Training, Service Writing, Effective Communication Skill, Leadership, Management, Military Law, RMAF Air Warfare dan Program Kaya Budi.
Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada semua penuntut kursus. Menurut beliau, kursus yang dijalani dapat meningkatkan lagi kredibiliti penuntut kursus sebagai seorang pegawai TUDM merangkumi aspek kepimpinan, pengurusan yang sistematik dan komunikasi yang berkesan untuk menjadi seorang pegawai Tentera Udara yang berketrampilan atau kompeten. Mereka juga adalah lapisan pemimpin yang akan menerajui TUDM dan angkatan tentera di masa hadapan. Beliau berharap agar segala ilmu pengetahuan yang telah dipelajari sepanjang kursus tidak dipersia-siakan malah menjadi panduan di dalam melaksanakan tugas dan mengharungi cabaran dalam perkhidmatan mendatang serta manfaatkannya dalam memajukan diri dan kerjaya.
Penuntut Terbaik Keseluruhan telah dinobatkan kepada Kapt Mohamed Zulhilmy bin Mohamed Zulkifli TUDM. Penuntut Akademik Terbaik telah dirangkul oleh Kapt Syuhada Azreen binti Norazman TUDM, manakala Pendebat Terbaik pula telah disandang oleh Kapt Muhammad Amir Syazwan bin Dato' Muhammad Tarminzi TUDM. Sindiket Terbaik pula dimenangi oleh Sindiket Charlie yang diketuai oleh Kapt Muhamad Nursaidi bin Mohammad Dzali TUDM.
Tahniah diucapkan kepada semua penuntut kursus serta semua jurulatih dan tenaga pengajar yang terlibat dalam penganjuran Kursus SOC Siri 97/22.