MAJLIS PENUTUP KURSUS DAN PENYAMPAIAN DIPLOMA MAKTAB PERTAHANAN ANGKATAN TENTERA (MPAT) SIRI 41/2021

1 2 3
5 6 7
8 9 10
11 12 13
14 15 16

 

PUTRAJAYA, 23 Dis 21 – Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM mewakili Panglima Tentera Udara telah menghadiri upacara graduasi Peserta Kursus (PK) Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Siri 41/2021 di Auditorium Utama, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya. Upacara graduasi telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM merangkap Pengerusi Lembaga Gabenor MPAT.

Kursus ini merupakan program kaloborasi strategik di antara MPAT dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menawarkan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) kepada para peserta.

Kursus yang bermula pada 4 Januari 2021 ini merupakan kali kedua ianya dilaksanakan di PUSPAHANAS dan kali ini melibatkan seramai 63 PK termasuk lapan (8) orang pegawai tentera dari tujuh (7) buah negara yang berjaya menamatkan kursus mereka. Daripada jumlah tersebut, 11 orang pegawai dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), manakala 32 orang pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM), 11 orang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), seorang (1) Pegawai Tadbir Diplomatik dari Kementerian Pertahanan. Seramai 43 orang PK telah berjaya mendapat keputusan Lulus Dengan Cemerlang serta tersenarai di dalam Commandant’s List manakala 20 orang Lulus Dengan Kepujian. Di samping itu, 36 (PK) turut berjaya disenaraikan di dalam Senarai Dekan UKM.

Tiga (3) anugerah telah disediakan untuk PK yang cemerlang sepanjang kursus berlangsung iaitu Anugerah Kertas Kajian Terbaik, Anugerah Akademik Terbaik dan Anugerah Peserta Kursus Terbaik Keseluruhan.

Anugerah Kertas Kajian Terbaik dirangkul oleh Lt Kol Norhisham bin hassan dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) manakala Anugerah Akademik Terbaik disandang oleh Senior Lieutenant Colonel Fan Muh Poh dari Tentera Darat Singapura dan Peserta Kursus Terbaik Keseluruhan diungguli oleh Lt Kol Ir. Suthan a/l Venkatachalam dari Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD).

Untuk rekod, semenjak penubuhannya, iaitu dari tahun 1981 sehingga kini, seramai 1,465 graduan lulusan Maktab ini telah berjaya dilahirkan dengan 756 graduan TDM, 228 graduan TLDM, 273 graduan TUDM, 75 graduan PDRM, 2 graduan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malysia (APMM), 41 graduan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan 90 graduan dari PK Antarabangsa.

Majlis hari ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany; Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad bin Ab Rahman; ahli Lembaga Gabenor MPAT serta jemputan luar. Tahniah diucapkan kepada semua peserta kursus yang berjaya menamatkan kursus serta barisan tenaga pengajar MPAT.