PUTRAJAYA, 24 Dis 21 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menghadiri upacara graduasi Kursus Ketahanan Nasional (KKN) KOHORT 2021 Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Auditorium Utama, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya. Upacara graduasi telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM.
Kursus yang bermula pada 4 Jan 2021, merupakan siri kedua ianya dilaksanakan di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya yang melibatkan 21 orang Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia berpangkat Kol dan Brig Jen atau setaraf. Daripada jumlah tersebut, empat (4) pegawai kanan dari Tentera Udara Diraja Malaysia, 12 pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan lima (5) pegawai kanan dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah berjaya menamatkan kursus selama 52 minggu. Graduan daripada TUDM ialah Kol Ben Khedda Adnan bin Mohd Yusoff TUDM; Kol Mohd Sani bin Omar TUDM; Kol Khairol Muzambi bin Salehin TUDM dan Kol Mohmad Safhree bin Sidek TUDM.
Matlamat penubuhan Maktab Ketahanan Nasional adalah bertujuan bagi menghasilkan pemikir strategik berkualiti sebagai seorang negarawan (statesman) yang mampu menggunakan elemen kuasa negara (National Power) ke arah keselamatan, kestabilan dan kemakmuran negara, serantau serta antarabangsa. Ianya diharap dapat menyumbang ke arah penghasilan graduan berkualiti yang mampu berfikir secara strategik dalam menghasilkan pemimpin dan negarawan berwibawa berlandaskan konsep “whole government approach” yang seiring sepertimana ditekankan di dalam Kertas Putih Pertahanan dan Dasar Keselamatan Negara 2021- 2025.
Mengikut perancangan pada tahun 2024, Maktab Ketahanan Nasional (MKN) akan menawarkan kursus ini kepada pegawai tertinggi sektor awam dan swasta serta pegawai-pegawai kanan tentera dari luar negara. Perkara ini tertakluk kepada ketersediaan beberapa fasiliti tambahan seperti rancangan pembinaan bangunan MKN sendiri di dalam kompleks PUSPAHANAS yang dilengkapi dengan penginapan Penuntut Kursus, dijangka bermula pada tahun 2022.
Dalam majlis ini turut diadakan pelancaran buku “Statesman Journal” yang telah berjaya dihasilkan oleh peserta kursus di mana ianya merupakan kompilasi artikel akademik. Kejayaan utama yang telah dicapai sepanjang kursus ialah penghasilan dua kertas penyelidikan dan cadangan dasar yang telah berjaya dibentangkan kepada ahli-ahli panel kementerian bertajuk :
1. “Strengthening the Food Supply Chain in Malaysian”:
“Capitalizing the Malaysian Armed Forces New Food Eco-System”.
2. “To cut the guardian knot : Synchronizing the
government’s Aspiration with Malaysia’s National Defence Industry (NDI) Requirements”.
Majlis hari ini turut dihadiri oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad bin Ab Rahman.
Tahniah kepada semua graduan Kursus Ketahanan Nasional (KKN) KOHORT 2021 yang memberikan dedikasi dan komitmen tinggi serta barisan tenaga pengajar.