MAJLIS PENUTUP KARNIVAL SUKAN ANTARA PERKHIDMATAN TAHUN 2022

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

Kuala Lumpur, 1 Jul 22- Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM mewakili Panglima Angkatan Tentera telah menyempurnakan penyampaian hadiah seterusnya merasmikan penutup Karnival Sukan Antara Perkhidmatan Tahun 2022. Majlis yang berlangsung di Dewan Dato’ Othman Harun, Kem Wardieburn, Kuala Lumpur turut dihadiri oleh Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain, Panglima Tentera Darat merangkap Pengerusi Penganjur Karnival Sukan Antara Perkhidmatan Sesi Kedua anjuran Lembaga Sukan Tentera Darat dan Laksamana Muda Dato’ Hanafiah bin Hassan, Ketua Pengarah Hidrografi, mewakili Panglima Tentera Laut serta Pengerusi-pengerusi Persatuan Sukan ATM dan Perkhidmatan, Pegawai-pegawai, warga Angkatan Tentera Malaysia dan para atlet.

Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya mengucapkan syabas kepada Majlis Sukan Angkatan Tentera Malaysia kerana telah dapat menggerakkan semula karnival sukan setelah dua tahun tertangguh kerana berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19. Ucapan penghargaan juga diberikan kepada Lembaga Sukan Tentera Darat, di atas kejayaan menganjurkan karnival sukan bagi sesi kedua untuk tahun 2022 dengan mempertandingkan 3 acara iaitu tinju, tenis dan boling padang.

10 11 12
13 14 15
16 17 18

 

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan ATM yang sentiasa dilihat sebagai pasukan yang digeruni serta mampu memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan yang bertanding kerana nama dan imej ATM itu sendiri yang dikenali dengan disiplin yang terpuji, daya juang yang tinggi serta semangat kerjasama yang utuh yang menjadi asas keampuhan ATM dalam apa jua bidang yang diceburi.

Menurutnya, berdasarkan kepada pencapaian prestasi terdahulu penglibatan ATM di dalam acara sukan seperti kejohanan MAKSAK Malaysia pada tahun 2019, pasukan ATM berjaya mendapat tempat ke-2 daripada 18 pasukan badan gabungan yang bertanding. Terkini, Temasya Sukan SEA ke-31 di Vietnam yang baru sahaja melabuhkan tirai turut disertai oleh 32 orang atlet ATM dan telah menyumbangkan 2 pingat emas, 8 pingat perak dan 8 pingat gangsa buat warga ATM amnya dan Malaysia khasnya dalam beberapa acara sukan yang dipertandingkan. Selain itu, atlet ATM juga telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam Kejohanan Olahraga MAKSAK pada 16 hingga 19 Jun yang lalu yang mana telah berjaya menjadi Johan bagi Kategori Lelaki dan Naib Johan bagi Kategori Wanita. Untuk rekod, sehingga hari ini, kedudukan ATM dalam MAKSAK adalah di tempat ke-2 daripada 18 badan gabungan MAKSAK. Pencapaian ini bukan sahaja mengangkat ATM sebagai agensi yang hanya mempertahankan kedaulatan tanah air, malah turut menjulang nama ATM sebagai satu pasukan yang cemerlang di peringkat antarabangsa dan juga kebangsaan.

19 20 21

 

Di akhir ucapan, beliau terus menyeru agar sentiasa memastikan segala usaha, masa dan tenaga yang dicurahkan mampu memberikan pulangan yang memberangsangkan seterusnya menjadi pendorong untuk terus menyuntik semangat warga ATM dalam memberikan prestasi yang terbaik ke arah kecemerlangan sukan ATM secara keseluruhannya. Beliau turut menyeru para atlet ATM untuk menerapkan nilai integriti yang tinggi serta sentiasa mengamalkan ‘fairplay’ dalam setiap pertandingan yang disertai agar beroleh kemenangan dan kejayaan secara adil dan terhormat.