KUALA LUMPUR, 17 Mac 2023 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah hadir ke Majlis Pelancaran Tabung Ihya' Ramadan Tahun 2023M/1444H Peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Majlis yang diadakan di Masjid Khalid bin Al-Walid KEMENTAH (MKWK) ini telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Bin Buang TUDM.
Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadan merupakan majlis bagi mengimarahkan program yang dilaksanakan sepanjang Ramadan di samping mengumpul dana dan sumber kewangan dalam membiayai program dan aktiviti yang dirancang.
Selain daripada sumbangan derma daripada individu dan badan korporat bagi membiayai program dan aktiviti sepanjang Ramadan 2023M/1444H, pelancaran ini juga dapat menyemarakkan aktiviti syiar Islam di setiap masjid dan surau ATM khususnya pada bulan Ramadan dan meningkatkan kesedaran anggota untuk membuat persediaan fizikal dan spiritual bagi menyambut bulan Ramadan pada tahun ini.
Bagi tahun ini, MKWK telah menerima sejumlah RM13,253.60 hasil sumbangan berbentuk kupon dengan nilai minimum RM2.00 dan maksimum RM5.00 yang diagihkan kepada warga ATM di Markas Angkatan Tentera Malaysia dan Markas Perkhidmatan Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia serta sumbangan peribadi daripada Tuan Hj Md Humayun Kabir Al-Haj Hakim bernilai RM 84,200.00 untuk sumbangan program bubur lambuk, iftar dan sahur di MKWK yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM 97,453.60.
Simbolik penyerahan sumbangan terkumpul dari markas-markas perkhidmatan kepada Panglima Angkatan Tentera telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Brig Jen Ahmad Najib bin Othman mewakili Panglima Tentera Darat; Laksamana Muda Baharudin bin Wan Mohd Nor mewakili Panglima Tentera Laut dan Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Abdul Halim bin Haji Shaari, Pemangku Ketua Staf Markas ATM.
Semua aktiviti pengimarahan yang akan dilaksanakan di MKWK melalui sumbangan yang diterima adalah bertujuan membina sifat ihsan dan taqwa dalam diri setiap warga tentera dan masyarakat awam setempat. Ia juga dilihat sebagai sebahagian tugas dan tanggungjawab Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) khususnya dalam memperkasakan pensyariatan Ibadat Puasa Ramadan yang dituntut sebagai rukun asas dalam Islam.
Di kesempatan ini juga, Panglima Angkatan Tentera turut melaksanakan penyerahan sumbangan Tabung Zakat ATM sebanyak RM195,200.00 kepada Panglima dan wakil Panglima Perkhidmatan bagi tujuan pembiayaan program dan aktiviti kerohanian masjid dan surau ATM di kawasan tanggungjawab masing-masing yang dilaksanakan sepanjang Ramadan 2023M/1444H.
Selain daripada itu,di majlis ini turut berlangsung penyerahan sumbangan Program Kerjasama Strategik dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Agensi-Agensi dengan ATM iaitu daripada Koperasi Tentera berjumlah RM 70,000.00 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Tentera, Encik Mohd Ghazali bin Abas dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) berjumlah RM 45,000.00 yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif YLTAT, Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Hj Sudin.
Semoga dengan kehadiran Ramadan 1444H memberikan lebih pengertian, ketenangan dan memotivasikan semua umat Islam untuk menunaikan ibadat dengan penuh ikhlas dan tawaduk.