MAJLIS PELANCARAN KARNIVAL PENDIDIKAN ATM, PENYAMPAIAN DERMASISWA PREMIUM DAN KOMPUTER RIBA OLEH MENTERI PERTAHANAN

1 2 3
4 5 6

 

KUALA LUMPUR, 4 Jul 23 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah hadir ke Majlis Pelancaran Karnival Pendidikan ATM, Penyampaian Dermasiswa Premium dan Komputer Riba yang diadakan di Auditorium Wisma Pertahanan. Majlis pada hari ini telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan.

Karnival Pendidikan ATM yang bermula pada 4 hingga 6 Julai 2023 ini membawa tema “Membangun Warga Kerja Pertahanan ke Arah Masyarakat Berasaskan Pengetahuan”. Antara pengisian karnival ini adalah pameran pendidikan kepada warga kerja pertahanan yang mana melibatkan institusi pengajian tinggi, kaunseling ATM, perpustakaan dan taklimat pengajian tinggi.

YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan menyempurnakan Majlis Pelancaran Karnival Pendidikan ATM, Penyampaian Dermasiswa Premium kepada 28 penerima dan pemberian Komputer Riba kepada 64 penerima yang terdiri daripada anak-anak ATM dan veteran ATM. Dermasiswa Premium dan komputer riba ini merupakan antara sumbangan yang disalurkan oleh Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) sebagai tanda penghargaan kepada warga ATM dan Veteran ATM serta ahli keluarga disamping menjadi pemangkin semangat kepada warga ATM untuk meningkatkan pencapaian akademik anak-anak. Antara penerima yang hadir melibatkan warga TUDM ialah adik Wan Amira Sofea diwakili oleh bapanya,

Lt Kol Wan Zainal Abidin bin Wan Yaacob TUDM dari Mk AB yang menerima Dermasiswa Premium dan penerima sumbangan komputer riba ialah adik Muhammad Adib Ferhan, anak kepada Lt Kol Muhamd Nasir bin Muhamad TUDM dari MPOU.

Dermasiswa Premium ini adalah merupakan bantuan “one off” sebanyak RM 5,000 khas untuk anak-anak ATM dan anak veteran ATM yang melanjutkan pelajaran ke 100 Universiti Terbaik Dunia. Manakala pemberian komputer riba sebanyak 200 buah telah diperuntukkan bagi inisiatif ini untuk disumbangkan kepada anak ATM dan anak Veteran ATM yang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Institut Pengajian Tinggi Awam.

Pemberian ini merupakan salah satu komitmen Yayasan LTAT dalam merealisasikan pelaksanaan dan hala tuju Kertas Putih Pertahanan (KPP) khususnya dalam memastikan hala tuju pendidikan anak-anak warga ATM terjamin menerusi program-program sedia ada yang ditawarkan seperti Skim Penabungan Anak-anak ATM Rukun Kelima (SPARK), Program Sentuhan Elit SPM, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia dan Program Bantuan Institut Pengajian Tinggi Awam.

Turut hadir ke majlis ini ialah Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman yang mewakili Panglima Angkatan Tentera; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) merangkap memangku Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Shahrazat binti Haji Ahmad; Pengerusi LTAT merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan LTAT, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (Bersara); Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Dato’ Dr Mohd Nizar bin Hj Sudin; Pengarah Pendidikan ATM, Brig Jen Hj Mohd Shukri bin Hj Mohd Ghazali serta penerima-penerima sumbangan.

Sekalung tahniah kepada semua penerima serta ibu bapa penerima Dermasiswa Premium dan Komputer Riba di atas kecemerlangan pendidikan yang ditunjukkan dan semoga terus meraih kecemerlangan di dalam pengajian di universiti sehingga tamat pengajian kelak.