SUBANG, 4 Jul 23 – Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) telah menerima lawatan dari Air Chief Marshal VR Chaudhari, Chief of the Air Staff Indian Air Force (IAF) sempena lawatan kerja rasmi ke TUDM amnya dan Malaysia amnya. Ketibaan Air Chief Marshal VR Chaudhari telah disambut oleh Panglima Operasi Udara, Lt Jen Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM serta barisan eksekutif MPOU. Turut hadir sama meraikan kunjungan lawatan adalah Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM.
ACM VR Chaudhari, seterusnya menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kuarter dari Pangkalan Udara Subang. Beliau seterusnya diberikan taklimat pengoperasian, hala tuju dan cabaran MPOU oleh Timbalan Ketua Staf 1 MPOU, Brig Jen Ayub Khan bin Mohammad Khan TUDM. Beliau dengan diiringi oleh Panglima Operasi Udara turut dibawa melawat sekitar Galeri MPOU yang memaparkan sejarah-sejarah operasi dan eksesais melibatkan TUDM.
Dalam rangka lawatan kerja rasmi termasuk ke MPOU antara lain dapat mengukuhkan lagi hubungan baik dan kerjasama pertahanan di antara kedua-dua angkatan udara. Di akhir lawatan, turut dilaksanakan pertukaran momento di antara MPOU dan IAF sebagai simbolik atas lawatan ulung ACM VR Chaudhari.