MAJLIS PELANCARAN FILEM "AIRFORCE THE MOVIE : SELAGI BERNYAWA" YANG BAKAL MENDARAT DI PAWAGAM WAKTU SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN TAHUN INI

285867543 384307890407351 2512504770717342057 n 285738625 384307743740699 3447267387897876616 n 285483908 384307897074017 204556009332704829 n
285816964 384307953740678 491067883286145807 n 285520187 384308020407338 7525505741791911029 n 285594183 384307793740694 6541945600191781063 n
285517262 384307787074028 5255783185144319641 n 285538626 384308057074001 7300469624611234238 n 285489682 384308107073996 5952506651823103437 n

 

Subang, 2 Jun 22 – Bertepatan dengan sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-64, Majlis Pelancaran dan Sidang Media Air Force The Movie: Selagi Bernyawa juga dilaksanakan. Bertempat di No 8 Skuadron, Pangkalan Udara Subang, Selangor, buat kali pertama treler rasmi filem Air Force The Movie : Selagi Bernyawa ini dipertontonkan kepada rakan media dan satu sesi temubual diadakan bersama pengarah filem iaitu Zulkarnain Azhar dan Frank See serta barisan pelakon seperti Dato’ Adi Putra, Nas-T, Sara Ali, Johan As’ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Iman Corinne, Niezam Zaidi dan Carmen Soo.

Air Force The Movie : Selagi Bernyawa dipersembahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia bersama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro, FX Hammer dan Six Fun Media. Filem ini mengisahkan tentang Kapten Adib dan Mejar Adnan bersama skuadnya yang terlibat di dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, sebuah negara yang sedang dalam pergolakan. Di dalam perjalanan pulang ke Malaysia, pesawat mereka telah ditembak jatuh oleh pengganas. Mengetahui perkembangan ini, Tentera Udara Diraja Malaysia telah mengarahkan misi untuk menyelamatkan mereka semua. Zafran, abang ipar kepada Adib yang juga seorang juruterbang pesawat pejuang Sukhoi berusaha untuk menyelamatkan mereka. Demi keselamatan bersama, mereka harus berkorban dan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Ucapan pembukaan telah disampaikan oleh Tan Sri Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar, Pengerusi Multimedia Group selaku wakil pihak penerbit. Beliau berkata, “pihak penerbit amat teruja untuk mempersembahkan sebuah filem yang epik ini untuk membangkitkan semangat patriotisma sempena sambutan perayaan Hari Kebangsaan yang ke-65.“

Tetamu kehormat majlis, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM yang diiringi oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah memberi ucapan dan seterusnya menyempurnakan Majlis Pelancaran Filem Air Force The Movie : Selagi Bernyawa. Di dalam ucapannya, beliau berkata,” Air Force The Movie bukan sekadar filem yang menawarkan babak aksi semata-mata untuk menagih pujian penonton. Setiap babak ketenteraan telah dibincang bersama agar tidak mengecewakan dan ini antara salah satu faktor yang membuatkan filem
ini boleh dikatakan sebagai salah sebuah filem aksi drama tempatan yang terbaik untuk tahun 2022”.

 Turut hadir di majlis tersebut adalah Datuk Steven Lim, Pengarah Urusan, Kumpulan Multimedia; Cik Koh Mei Lee, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Golden Screen Cinemas; Encik Henry Tan, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Astro; Encik Frank See, Pengarah, FX Hammer dan Encik KC Hoe, Ketua Pegawai Eksekutif, Six Fun Media di pihak penerbit manakala di pihak TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia turut dihadiri oleh Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Bantuan Udara, Brigedier Jeneral Masro bin Kaliwon TUDM; Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM dan Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Dato' Hj Shamsudin bin Kassim TUDM serta pegawai kanan TUDM dan ATM.

Wakil pihak penaja utama filem Air Force The Movie : Selagi Bernyawa iaitu Bonia dan Cuckoo serta penaja bersama 7 Days dan AHB turut hadir ke majlis gilang-gemilang hari ini.

Majlis pelancaran ini amat istimewa kerana pihak media turut berpeluang melihat aset ketenteraan negara yang dipamerkan seperti pesawat Sukhoi Su-30 MKM, F/A-18 Hornet, A400M, C130 Hercules dan helikopter EC-725 AP. Peluang yang jarang diperolehi digunakan sebaik-baiknya oleh kumpulan barisan pelakon dan kumpulan penerbitan bagi mempromosikan filem yang membawa kelainan khususnya mengetengahkan peranan dan memartabatkan nama Tentera Udara Diraja Malaysia serta menghargai pengorbanan para perwira dan perajurit negara di samping memupuk nilai patriotisme di kalangan rakyat.

Air Force The Movie : Selagi Bernyawa, filem penuh aksi ini bakal memecah panggung di seluruh negara bermula 25 Ogos 2022. Untuk maklumat lanjut anda boleh lawati laman sosial di https://www.gscmovies.com.my/air-force-the-movie-selagi-bernyawa/