MAJLIS PELANCARAN EKSPO USAHAWAN VETERAN TLDM 2022 ANJURAN JHEV ATM DAN PVTLDM CAWANGAN KUALA LUMPUR

1 2 3
4 5 6

 

CYBERJAYA, 26 MAC 22 – Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM telah mewakili Panglima Tentera Udara ke Majlis Pelancaran Ekspo Usahawan Veteran (EUV) TLDM 2022. Majlis ini telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM. Penganjuran ekspo jualan produk, perkhidmatan dan pameran ini diadakan selama dua hari pada 26 dan 27 Mac 2022 bertempat di Malakat Mall Cyberjaya dianjurkan bersama antara Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dan PVTLDM Cawangan Kuala Lumpur.

Ekspo yang julung kali diadakan ini sejajar dengan hasrat memperkasakan ekonomi usahawan Veteran ATM dan mengukuhkan jaringan (networking) yang boleh memanfaatkan perniagaaan para usahawan Veteran ATM di samping mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada para veteran. Tema “Revolusi Saudagar Veteran” telah dipilih bagi menggambarkan kesungguhan dan iltizam warga Veteran ATM yang ingin memperbaiki ekonomi melalui aktiviti keusahawanan. Penganjuran ekspo jualan, perkhidmatan dan pameran ini akan diadakan secara bersemuka disertai oleh 100 usahawan veteran ATM.

7 8 9
10 11 12

 

Melalui jalinan kerjasama dengan agensi TEKUN dan TERAJU, inisiatif ini dapat membantu usahawan veteran meneroka pasaran yang lebih luas ataupun peluang membesarkan perniagaan semasa. Inisiatif ini diharapkan akan membawa satu perubahan minda yang lebih positif dan semangat yang lebih bermakna untuk membolehkan warga Veteran ATM terus berkhidmat kepada negara serta bersama-sama membina negara yang tercinta ini.

Di ekspo ini juga, khusus untuk veteran terdapat pelbagai organisasi yang turut serta menjayakan hasrat ini antaranya adalah PERKESO (MyFutureJob), CODE7 dan juga Lotus’s yang menawarkan peluang pekerjaan di 60 cawangan di seluruh negara. Penyertaan usahawan veteran ini diharapkan dapat membantu produk veteran dipasarkan ke dalam ekosistem Malakat Grocer. Nilai tambah turut disediakan kepada veteran melalui sesi perkongsian ilmu perniagaan dan pemasaran produk bersama ikon perniagaan.

JHEV ATM berharap agar ekspo usahawan seumpama ini perlu diperluaskan oleh Persatuan-Persatuan Veteran ATM yang lain dalam inisiatif melahirkan lebih ramai usahawan dari kalangan Veteran ATM. JHEV berharap agar masyarakat umum dan agensi-agensi korporat terutamanya, menyokong usahawan veteran tempatan kerana kebanyakan produk mereka mempunyai potensi untuk berkembang lebih luas di pasaran tempatan dan luar negara. Secara tidak langsung menzahirkan rasa terima kasih atas pengorbanan yang telah dicurahkan oleh Veteran ATM dalam menentukan keamanan dan kesejahteraan negara.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Komander National Task Force, Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan Abdullah; Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato' Dzulkarnain bin Ahmad serta pegawai-pegawai Kanan dan anggota ATM.