KUALA LUMPUR, 24 Ogos 23 - Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM selaku Yang Dipertua Sukan ATM telah hadir ke Majlis Malam Anugerah Sukan Angkatan Tentera Malaysia Tahun 2023. Majlis ini telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur.
Majlis Anugerah Sukan ATM 2023 ini dilaksanakan bagi meraikan dan memberi pengiktirafan di atas kecemerlangan serta pencapaian sukan yang dicapai kepada para atlet, jurulatih dan pentadbir sukan yang telah berjaya mengharumkan nama ATM sepanjang tahun 2022.
Pada majlis ini, disampaikan anugerah dalam kategori Lambang Emas, Penerima Anugerah Khas, Jurulatih Sukan Terbaik, Tokoh Sukan dan Anugerah Olahragawan serta Olahragawati bagi tahun 2022.
Di majlis ini juga turut disampaikan 62 sijil penghargaan kepada Pentadbir Sukan yang dipertanggungjawab sepenuhnya bagi meningkatkan prentasi sukan dalam ATM. Manakala 90 orang atlet yang mewakili ATM diberikan sijil kepujian dalam usaha menyumbang bakti pada Negara. Penerima Sijil Lambang Emas diberikan kepada 10 orang atlet yang telah berjaya mencapai kecemerlang pada tahun 2022 melalui Kejohanan Kebangsaan dan Antarabangsa. Kategori Sijil Anugerah Khas, dinobatkan kepada lima (5) orang atlet diatas pengiktirafan semangat yang luar biasa serta berdedikasi dalam setiap acara sukan yang diceburi.
Penerima bagi anugerah Jurulatih Sukan Terbaik telah dinobatkan kepada Flait Sarjan Tiruvatiran a/l Vedivelu bagi sukan Olahraga. Penglibatan beliau sebagai jurulatih telah mengharumkan nama ATM di peringkat Kejohanan Olahraga Kebangsaan selama 10 tahun berturut-turut dan mengekalkan gelaran Johan selama 8 tahun berturut-turut di Kejohanan Olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK).
Olahragawan ATM 2022 disandang oleh Pegawai Waran 2, Billage anak Nakang dari perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM). Beliau mewakili sukan Silat Olahraga dan telah berjaya merangkul pingat gangsa di Kejohanan Pencak Silat Kejuaraan Dunia ke-19 bertempat di Malaysia.
Olahragawati ATM 2022 pula telah dinobatkan kepada Laskar Kelas 1 TNL Savinder Kaur a/p Jogindr Singh dari perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Beliau telah merekodkan pelbagai kejayaan membanggakan meraih pingat emas di Kejohanan Central Asian Athletics Championship dan di Kejohanan ASEAN University Games dalam acara larian 800 meter.
Di majlis ini juga, telah berlangsungnya penyampaian trofi Kejohanan Sukan Antara Perkhidmatan ATM kepada Perkhidmatan TLDM apabila dinobatkan sebagai Johan Antara Perkhidmatan bagi tahun 2022 dan telah berjaya mengekalkan kejuaraan selama 13 tahun berturut-turut dalam Kejohanan Sukan Antara Perkhidmatan.
Turut hadir di majlis ini adalah Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Haji Ahmad, Setiausaha Agung MAKSAK Malaysia, Encik Radin Hedly Syah bin Radin Mohamad Hambali, mantan-mantan pentadbir sukan, pentadbir sukan dan atlet-atlet ATM yang diraikan.