LAWATAN RASMI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH KE KEMENTERIAN PERTAHANAN

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

Kuala Lumpur, 4 Jul 22 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli mengadakan lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan hari ini.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM turut serta bersama-sama Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein; Timbalan Menteri Pertahanan YB Dato' Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan YBhg Dato' Sri Muez bin Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany serta Pegawai-pegawai Kanan Kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyambut keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Wisma Pertahanan.

Sebaik keberangkatan tiba, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada 4 pegawai serta 103 anggota, diketuai oleh Mej Nurul Fauzan bin Md Sabri.

10 11 12
13 14 15
16 17 18

 

Di dalam sesi lawatan ini juga, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima sembah taklimat dari Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pertahanan dan ATM berkenaan Pelan Pemulihan Aset Littoral Combat Ship (LCS), Pindaan Akta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), agenda memperkasakan Veteran ATM dan Pengoperasian Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

Lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan ini adalah merupakan julung kali dizahirkan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke atas organisasi Kementerian-Kementerian di Malaysia sejak baginda ditabalkan sebagai KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16. Usai taklimat, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut mencemar duli menyantuni warga Kementerian Pertahanan yang terdiri daripada warga ATM dan kakitangan awam serta kesudian KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merakamkan kenangan manis bersama warga Kementerian Pertahanan dalam lawatan ini. Warga TUDM khususnya dan warga ATM serta warga Kementerian Pertahanan amnya menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas kesudian KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia mencemar duli mengadakan lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan. Dirgahayu Tuanku.