Subang, 2 Ogos 22 - Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi tiba di Pangkalan Udara Subang pagi ini sempena Lawatan Kerja Rasmi ke empat negara asia termasuk Malaysia. Ketibaan beliau dan delegasi kongres dengan pesawat khas kira-kira jam 10.30 disambut oleh Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Omar bin Hj Dawami TUDM serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Brian D McFeeters serta kumpulan eksekutif Pangkalan Udara Subang. Turut serta dalam delegasinya ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara, Gregory Meeks; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Veteran, Mark Tanako serta tiga ahli Kongres iaitu Suzan Delbene, Raja Krishnamoorthi dan Andy Kim.
Nancy Pelosi ialah pemimpin nombor tiga dalam senarai pengganti presiden dan satu-satunya wanita yang pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan. Lawatan ini antara lain adalah menumpukan kepada isu keselamatan bersama, perkongsian ekonomi dan tadbir-urus demokratik di rantau Indo-Pasifik. Untuk rekod sejarah, Amerika Syarikat menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1957 berikutan kemerdekaan Malaya. Pada April 2014, hubungan dua hala Washington dan Kuala Lumpur dinaiktaraf kepada Perkongsian Komprehensif.
Sejurus tiba di Pergerakan Udara Pangkalan Udara Subang, beliau meneruskan lawatan ke Parlimen Malaysia.