KUALA LUMPUR, 15 Ogos 23 - United States Pacific Air Force Commander (US PACAF), General Ken Wilsbach telah mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Malaysia khususnya ke Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bermula dari 14 hingga 16 Ogos 23. Beliau turut diiringi isteri, Mrs Cindy Wilsbach bagi program melibatkan lawatan yang diatur oleh Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Udara dalam rangka lawatan kerja ini.
General Ken Wilsbach memulakan lawatan rasmi dengan Kunjungan Hormat ke atas Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Udara di Markas Tentera Udara, Wisma Pertahanan hari ini.
Ketibaan beliau di Wisma Pertahanan telah disambut oleh Panglima Tentera Udara dan Pegawai-pegawai Kanan TUDM. General Ken Wilsbach telah diberi penghormatan selaku tetamu negara sebagai pegawai mengambil tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari TUDM yang terdiri daripada empat (4) pegawai dan 137 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mejar Ahmad Ridzuan bin Mohammad TUDM. Beliau seterusnya diperkenalkan dengan Pegawai-pegawai Kanan TUDM sebelum beredar ke Pejabat Panglima Tentera Udara bagi sesi kunjungan hormat.
Kedua-kedua pemimpin turut berbincang mengenai kerjasama strategik serta hubungan diplomasi pertahanan di antara dua angkatan udara. Kedua pemimpin tertinggi tentera udara saling berkongsi pandangan dan berharap semoga hubungan bilateral ini terus terjalin demi kestabilan dan keamanan serantau.
Dalam rangka lawatan ini, General Ken Wilsbach turut membuat Kunjungan Hormat ke atas Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan di Pejabat Menteri Pertahanan, Wisma Pertahanan sebagai sebahagian pengisian program lawatan rasmi ke Malaysia.
Lawatan kerja rasmi ini adalah sebagai tanda hubungan akrab di antara kedua-dua angkatan udara TUDM dan US PACAF yang memberi manfaat bersama.