LAWATAN KERJA PANGLIMA OPERASI UDARA KE NO. 11 SKUADRON

1 2 3


SUBANG, 4 Mac 2021 – Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM bersama rombongan telah mengadakan lawatan kerja ke No. 11 Skuadron.

Lawatan kerja ini bertujuan untuk melihat perkembangan semasa skuadron serta mendapat maklumat terkini dari pelbagai aspek berkaitan hala tuju No. 11 Skuadron dalam pengoperasian sistem MALE UAS pada masa yang akan datang.

Di awal lawatan, Panglima Operasi Udara telah menandatangani buku lawatan skuadron dan menyantuni ahli-ahli Tim Nukleus No. 11 Skuadron serta ahli-ahli dari Tim Projek UAS. Beliau telah diberikan taklimat daripada Ketua Tim Nukleus UAS, Mej Mohd Baizuri bin Abdullah TUDM mengenai penempatan sementara No. 11 Skuadron.

Seterusnya, beliau telah diberikan taklimat daripada Mej Muhammad Tarmimie bin Razali TUDM mengenai perkembangan semasa skuadron, persediaan serta perancangan dari segi latihan dan pengoperasian di masa hadapan.

Pada tanggal 1 Jun 2020, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah mengumumkan tentang pengoperasian Skuadron UAS iaitu No. 11 Skuadron dalam masa terdekat di dalam perutusan sempena Hari TUDM Ke-62.