148 VIAL VAKSIN COMIRNATY Pfizer-BioNTech SELAMAT TIBA DI PU KUANTAN DAN PU GONG KEDAK

1 2 3
4 5 6
7 7

 

4 Mac 2021- 148 vial vaksin COVID-19 jenis Comirnaty Pfizer - BioNTech telah diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang ke Pangkalan Udara Kuantan dan Pangkalan Udara Gong Kedak menggunakan pesawat KA 350i dari Pusat Latihan Terbang Taktikal (PLTT) TUDM pada hari ini. Pesawat telah dikendalikan oleh Kapt Muhamad Iqram bin Mohd Redzuan TUDM selaku juruterbang dan dibantu oleh Kapt Kamal Hilmi bin Dato' Kamalruzaman TUDM selaku pembantu juruterbang.

Sebanyak 98 vial vaksin telah selamat dihantar ke PU Kuantan dan diterima oleh Pegawai Perubatan 815 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT). Turut hadir menyaksikan penerimaan vaksin tersebut adalah Pegawai Laksana PU Kuantan. Seramai 486 pegawai dan anggota daripada pangkalan tersebut akan menerima suntikan Vaksin COVID-19 bagi fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Peringkat ATM.

Lagi 50 vial vaksin tersebut turut selamat dihantar ke PU Gong Kedak dan diterima oleh Pegawai Perubatan Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 321. Turut hadir menyaksikan penerimaan vaksin tersebut adalah Komander Pangkalan, Kol Wan Azwan Azwari bin Wan Ali TUDM. Seramai 210 pegawai dan anggota daripada pangkalan tersebut akan menerima suntikan vaksin bagi fasa pertama ini.

Vaksin yang dibawa dalam 'vaccine carrier box' ini telah dipantau dengan rapi oleh dua (2) orang pegawai farmasi yang turut sama dalam penerbangan tersebut iaitu Lt Kol Nur Hidayah binti Abd Rahim dari 93 DP AT dan Kapt Muhammad Amir Ehsan bin Zamri dari 91 IPP bagi memastikan ianya dalam keadaan selamat dan mengikut Prosedur Operasi Standard bagi pengurusan penghantaran dan penerimaan vaksin tersebut.