KOMITMEN WARGA TUDM MENJULANG NAMA TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA DIIKTIRAF DALAM ANUGERAH KECEMERLANGAN TUDM 2020

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11 12
13 14 15
16 17 18
19 20 21

 

SUBANG, 18 Disember 2020 – Anugerah Kecemerlangan TUDM merupakan acara tahunan, namun bagi tahun 2020, acara ini disambut secara norma baharu dan mencatatkan kelainan dalam penganjurannya berikutan negara dilanda krisis kesihatan global pandemik Covid-19.

Upacara penyampaian Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2020 telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM yang berlangsung di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang. Acara pada hari ini juga menyaksikan Penganugerahan Sayap Penerbangan Jurusensor Senjata (JSS) dan Kuartermaster Udara (KU) yang dilaksanakan serentak dengan Anugerah Kecemerlangan TUDM berikutan penangguhan beberapa siri kursus berikutan cabaran pandemik Covid-19.

Turut hadir ke majlis ini adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Haji Mohammad Salleh bin Haji Osman TUDM; Panglima Bantuan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Muhammad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mejar Jeneral Mohammad Shahada bin Ismail TUDM,Pegawai-pegawai Kanan TUDM serta warga TUDM yang lain.

Penyampaian anugerah pada pagi ini adalah satu tanda simbolik TUDM di dalam menghargai warganya yang sentiasa memberikan yang terbaik di dalam setiap penugasan sekaligus menjulang nama TUDM. Pengiktirafan kecemerlangan warga TUDM di dalam semua aspek dizahirkan melalui lapan (8) anugerah yang disampaikan iaitu Penyampaian Sijil dan Lencana Jurulatih TUDM, Penganugerahan Sayap Penerbangan JSS dan KU, Anugerah Kecemerlangan Sukan, Airman of the Year, Anugerah Terbang Selamat, Best Quarters of the Year, Training Institute of the Year dan Squadron of the Year. Buat pertama kalinya juga, Lencana Jurulatih TUDM diperkenalkan dan dianugerahkan sebagai pengiktirafan kepakaran kepada jurulatih TUDM yang memenuhi kriteria yang ditetapkan. Penganugerahan Sayap Penerbangan JSS dan KU pula menyaksikan kejayaan seorang pegawai dan 19 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) termasuk enam (6) daripadanya adalah anggota LLP dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Mereka telah berjaya menjalani kursus yang melahirkan barisan pelapis JSS pesawat pejuang dan KU pesawat sayap putar dan sayap kaku bagi menjamin kelestarian pengoperasian pesawat TUDM dan pesawat ATM yang lain di masa hadapan.

Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya menegaskan cabaran yang dihadapi oleh TUDM berikutan krisis kesihatan dunia, namun TUDM tetap teguh di dalam melaksanakan misi utamanya iaitu memelihara kedaulatan negara dan pada masa yang sama, melaksanakan tugas sebagai frontliners di dalam usaha bersepadu dengan agensi lain dalam memerangi pandemik Covid-19. Menurut beliau, ini jelas membuktikan kewibawaan TUDM sebagai tonggak kuasa udara yang berupaya bersiaga di dalam memastikan kedaulatan negara terjaga.

Meskipun terdapat cabaran dan kekangan di dalam mengadaptasi norma-norma baharu, warga TUDM tetap melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh komited dan dedikasi. Ini terbukti dengan penglibatan TUDM secara langsung di dalam memerangi pandemik Covid-19 di dalam Operasi PENAWAR membantu PDRM dan Operasi BENTENG di bawah National Task Force (NTF). TUDM sentiasa komited dalam memperkukuhkan kawalan persempadanan Malaysia melalui pengawasan udara maritim dan meningkatkan pengawasan udara di kedua-dua Wilayah Udara. Aset-aset TUDM telah diaturgerak untuk membuat pengawasan dan rondaan udara di Perairan Selat Melaka, Laut China Selatan serta Laut Sulu serta telah berjaya mematahkan pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam cubaan memasuki negara melalui jalan laut.

TUDM berterusan melaksanakan misi bantuan logistik penghantaran udara. Untuk rekod pada tahun 2020, TUDM telah melaksanakan lebih dari 100 misi penghantaran udara yang membawa sebanyak lebih kurang 240 tan keperluan barangan perubatan dan kesihatan bagi kegunaan kumpulan barisan hadapan di Sabah dan Sarawak melibatkan pesawat angkut A400M dan C130H. Selain dari itu, pesawat Helikopter EC-725 AP telah melakukan sebanyak lebih 20 penerbangan dengan menghantar bantuan bekalan makanan asas sebanyak lebih 30 tan ke kawasan pedalaman di Sarawak. Antara rekod bersejarah ialah bantuan penghantaran peralatan bagi pengoperasian Hospital Medan ATM di Tawau dan petugas kesihatan di Sabah. Di samping misi utama, TUDM turut melaksanakan tanggungjawab sosial bagi golongan yang sangat memerlukan melalui misi medevac iaitu membawa pesakit-pesakit terutama dari Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan rawatan perubatan dengan segera di hospital di Semenanjung.

TUDM kini sedang menuju ke arah merealisasikan pelan strategiknya iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau RMAF Capability Plan 2055 (CAP55) yang akan menggantikan pelan transformasi Air Force Next Generation (AFNG). CAP 55 Fasa 1 bakal bermula pada tahun 2021 memfokuskan kepada Penstrukturan Keupayaan dan Penjajaran Organisasi. CAP 55 akan merealisasikan aspirasi TUDM sebagai angkatan udara yang kredibel dan berspektrum penuh.

Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya, menyeru warga TUDM agar terus menghayati pelaksanaan perintah ulung PTU bagi mencapai misi TUDM untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan negara serta kepentingannya melalui penggunaan kuasa udara yang efektif. Langkah-langkah proaktif perlu diambil di samping budaya kerja dan Chief Of Air Force’s Ground Rules perlu diberi penekanan pada semua lapisan anggota untuk bersama-sama mengekalkan kecemerlangan organisasi dan pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan TUDM pada masa kini dan masa hadapan.