SENDAYAN, 20 Sep 23 –Kapt Mohamad Nizam bin Mohamad Aslam Khan TUDM dari Pangkalan Udara Labuan telah dinobatkan sebagai Penuntut Terbaik Keseluruhan di Majlis Penutup Squadron Officer Course (SOC) Siri 99/23. Penyampaian sijil,anugerah dan perasmian penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Haji Muhammad Norazlan bin Aris TUDM.
Selain itu, Penuntut Akademik Terbaik dirangkul oleh Kapt Vignesh A/L A R Ramachandran TUDM dari Sekolah Latihan Tempur TUDM dan Pendebat Terbaik pula disandang oleh Kapt Daryl Jun Analucas dari Philippine Airforce. Manakala Sindiket Terbaik dimenangi oleh Sindiket Bravo.
Di majlis ini, Sesi Debat Parlimen bagi Penuntut SOC Siri 99/23 yang bertajuk 'Traditional Initial Military Training Must Evolve as Technology Advances' telah dilaksanakan yang diselia oleh Lt Kol Muazam Shah bin Mohd Yusuf TUDM dari Sekolah Latihan Pegawai, Alor Setar.
Majlis Penutup kursus yang diadakan di Dewan Banquet, Wisma Perwira PU Sendayan juga dihadiri oleh Ketua Staf Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara, Brig Jen Abdul Halim bin Othman TUDM; Komander Pangkalan Udara Sendayan, Kol Ahmad Rashidi bin Ithnin TUDM; Pegawai Memerintah INSKEP, Lt Kol Nasruddin bin Khalid TUDM dan Pegawai Memerintah INSTAR, Lt Kol Johan Wahidi bin Mohd Arip TUDM. Selain itu, turut hadir ialah Defence Attache Thailand, Group Captain Warawoot Krasaetanont dan Defence Attache Republic of Indonesia, Kolonel Pnbg Yudha Irawan.
Kursus ini dihadiri seramai 29 pegawai berpangkat Kapten TUDM yang terdiri daripada pelbagai Ketukangan dan Unit TUDM termasuk empat (4) penuntut luar negara iaitu dari Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU), Bangladesh Air Force (BAF), Royal Thai Air Force (RTAF) dan Philippine Air Force (PAF). Kursus yang telah dilaksanakan selama 10 minggu bermula 10 Jul 23 hingga 22 Sep 23 di INSKEP, PU Sendayan merangkumi 7 modul pembelajaran melibatkan Kepimpinan, Pengurusan, Komunikasi dan Air Warfare.
Dalam ucapan penutup, Timbalan Panglima Tentera Udara menzahirkan ucapan tahniah dan amat berpuas hati dengan persembahan penuntut yang menggambarkan keberkesanan pembelajaran yang dilalui sepanjang tempoh kursus. Ianya sejajar dan bersesuaian dengan perkembangan kurikulum SOC yang telah melalui pelbagai penambahbaikan sejak dimulakan pada tahun 1980 khusus dalam mempersiapkan pegawai berpangkat Kapt TUDM bagi pelantikan peringkat eksekutif yang lebih tinggi serta menjadi seorang pemimpin.
Sekalung tahniah kepada penuntut terbaik serta semua penuntut kursus. Sekalung penghargaan kepada barisan jurulatih dan tenaga pengajar yang terlibat menjayakan SOC Siri 99/23. Semoga segala ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.