KUALA LUMPUR, 21 Sep 23 - Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menghadiri acara sambutan sempena Hari Angkatan Tentera (ATM) Malaysia Ke-90 yang dianjurkan oleh Bahagian Perkhidmatan Anggota - Kor Agama Angkatan Tentera (BPA-KAGAT ATM). Program Hiwar Perdana dan Kesenian Islam ini telah dilaksananakan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM dengan mengetengahkan konsep dan gaya serta nafas baru dalam menyampaikan mesej dakwah di kalangan warga ATM.
Jemputan sebagai penceramah Program Hiwar Perdana ini mempertontonkan dua (2) tokoh dakwah iaitu Ustaz Harryanto Rizal Rokman (pendakwah bebas) serta Ustazah Nazirah binti Abu Bakar (Penolong Pengarah Kanan, JAKIM) yang berbicara di atas tajuk, “Agama Dipelihara, Perpaduan Terjaga”. Manakala Mejar Dr. Mohd Shukri bin Zahari Al-Hafiz merupakan Pegawai Agama 91 Depot Pusat Kor Ordnans Diraja, bertindak sebagai moderator.
Program yang dilaksanakan ini diteruskan dengan penyerahan Tablet oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman yang merupakan sumbangan daripada pihak Etiqa Takaful Sdn Bhd kepada 30 orang pelajar terdiri daripada anak-anak warga ATM yang cemerlang dan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara cabutan bertuah daripada pihak penaja utama dalam program Hiwar Perdana dan Kesenian Islam iaitu Bank Islam Malaysia Berhad. Antara hadiah cabutan bertuah yang disediakan ialah Habib Jewels Gold Coins, Xiaomi Redmi 10, Chromebook Acer Spin 311 dan juga OPPO A16 kepada hadirin yang hadir.
Adalah menjadi suatu harapan besar bagi ATM, Bank Islam Malaysia Berhad serta semua para penaja yang lain agar program ini dapat memberi manfaat yang besar khususnya dalam meningkatkan syiar Islam dalam kalangan warga ATM. Pihak ATM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja dan individu yang terlibat serta turut menjayakan program ini.
Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy bin Ithnain mewakili Panglima Tentera Laut; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, Pegawai-pegawai Kanan ATM dan warga Kementerian Pertahanan.